Terima bunga ‘kematian’, Seunghan tinggalkan Riize

TIADA lagi peluang kedua, penyertaan semula penyanyi Seunghan dalam kumpulan Riize selepas keahliannya digantung sebelum ini mencetuskan amarah peminat Knetz (Korean Netizens).

Kontroversi membabitkan idola berusia 21 tahun itu disifatkan terlalu teruk hingga peminat mengecam tindakan syarikat berkenaan malah menghantar bunga ‘kematian’ di hadapan pejabat SM Entertaiment sebagai tanda protes.

Lebih teruk, Seunghan menjadi sasaran kecaman bertalu-talu Knetz yang mendesak dia mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.

Akur dengan permintaan mereka, jejaka tinggi lampai itu mengambil keputusan mengundurkan diri selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk enggan menjejaskan reputasi dan nama baik Riize.

“Selepas merenung secara mendalam, adakah saya hanya fikirkan tentang diri sendiri? Adakah saya telah menyebabkan masalah kepada semua anggota Riize?

“Saya rasa keputusan meninggalkan Riize adalah jalan terbaik.

“Saya tak mahu timbulkan sebarang rasa tidak baik dalam diri peminat. Saya tidak mahu mengecewakan anggota lain dan syarikat,” katanya.

Perkara itu dikongsi Seunghan menerusi laman sosial miliknya hanya selepas beberapa hari SM Entertainment mengumumkan dia kembali bersama Riize.

Kontroversi membabitkan Seunghan bermula tahun lalu apabila tersebar foto dia sedang bercium dengan kekasihnya.

Tidak hanya itu, peminat berang apabila muncul pula foto Seunghan sedang menghisap rokok ketika berada di Jepun. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok