‘Seminggu ambil masa, saya diyakinkan penerbit, pengarah’

MENJADI satu kemunculan semula yang dinanti-nanti ramai, pelakon Azar Azmi mengakui awalnya tidak mudah untuk menyahut tawaran berlakon naskhah Bulan Henti Bicara selepas tujuh tahun tidak beraksi di hadapan kamera.

Menurut Azar,36, watak sebagai Faziah dalam drama arahan Eyra Rahman tersebut dilihat sangat berat untuk dijayakan namun bersyukur pihak produksi berjaya meyakinkan dirinya untuk menjayakannya.

“Saya mengambil masa seminggu untuk memberi jawapan sebelum menerima watak Faziah.

“Menjadi Faziah bukan mudah kerana dia mengharapkan kasih sayang tetapi tidak dapat.

“Bagi menerima watak ini, saya diyakinkan sendiri oleh penerbit, pengarah dan pasukan kerja,” katanya.

Dia juga berterima kasih kepada Eyra kerana banyak memberitunjuk ajar dalam memastikan watak Faziah mampu meninggalkan impak terhadap penonton.

“Alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan Eyra yang sangat membantu untuk membentuk seorang Faziah dan
menjadikan apa yang penonton lihat pada hari ini,” katanya lagi.

Malah, video pengumuman mengenai penglibatannya untuk drama tersebut turut mencetuskan fenomena apabila meraih lebih 1 juta tontonan dalam TikTok dalam tempoh kurang 24 jam.

Sambutan hebat itu sekali gus membuktikan bahawa nama Azar masih lagi relevan dan mempunyai pengaruh besar dalam industri hiburan tanah air.

Bulan Henti Bicara mengisahkan perjalanan hidup Zulfa lakonan Ezzanie Jasny yang terperangkap antara tanggungjawab sebagai anak dan sebagai isteri namun menjadi mangsa penderaan mental serta fizikal.

Dalam usahanya mempertahankan maruah dan kebahagiaan keluarga, Zulfa terpaksa berdepan pelbagai ujian yang menguji kekuatan hati, kepercayaan dan harga dirinya.

Drama adaptasi novel karya Rissa Ahdiya yang akan bersiaran bermula hari ini turut dibintangi Azhan Rani, Ali Reza, Farah Ahmad, Hushairy Hussein, Azri Iskandar dan Qireen Din.

Naskhah yang bakal membuatkan penonton beremosi tersebut boleh ditonton setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam menerusi slot Megadrama Astro Ria. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok