PELAKON Fikry Ibrahim mengumumkan penamatan tugasnya sebagai pengacara Melodi semalam selepas dua tahun mengendalikan program tersebut.
Tampil buat kali terakhir menerusi siaran malam tadi, Fikry yang menjadi hos Melodi sejak 2024 berkata, dia bersyukur diberi peluang terlibat dengan program tersebut apabila meraih pengalaman berharga sebagai seorang pengacara.
“Terima kasih kepada keluarga Melodi dan Ain Edruce kerana memudahkan kerja saya.
“Untuk kali terakhir, terima kasih saya ucapkan kepada anda di rumah, teruskan menonton Melodi,” katanya.
Ujarnya, mengacara program Melodi juga menjadi salah satu platform untuk dirinya berseronok setiap minggu.
“Setiap kali saya datang ke set Melodi, tidak kira ada masalah atau penat, itu jadi ruang untuk saya enjoy.
“Saya Fikry Ibrahim, ‘signing off’. Terima kasih Melodi, terima kasih Malaysia,” katanya lagi.
Dalam siaran langsung malam tadi, Ain juga dilihat tidak dapat menahan sebak selain menyifatkan Fikry sebagai rakan hos yang menyenangkan.
“Fikry tak pernah menyusahkan tugas saya dan rasa seronok bekerja.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, kita bekerjasama di luar sana,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak Melodi tidak mengumumkan lagi mana-mana selebriti yang bakal menggantikan tempat Fikry minggu hadapan.
Sebelum ini, Melodi pernah dikendalikan barisan selebriti hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Wahid Senario, Awal Ashaari, Nabila Huda dan Janna Nick. – HIBGLAM
