‘Takkan mati nanti pacak bendera, tertulis nama saya’

KETIKA rakan seperjuangan dan seusia masih berjuang mempertaruh bakat di hadapan kamera bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup pada usia senja, Norlia Ghani memilih jalan berbeza.

Bergelar ‘content creator’ pada usia 77 tahun, hakikatnya, perkara tersebut tidak pernah ada dalam fikiran aktres legenda yang sudah membintangi puluhan drama dan filem sepanjang penglibatannya sebagai anak seni itu.

Namun, siapa yang mampu menolak rezeki yang hadir depan mata, terutama ketika tawaran lakonan kian berkurang dan jumlah bayaran tidak masuk akal.

Ruangan Pendedahan minggu ini membawa pembaca menyelami asbab anak kelahiran Klang, Selangor itu mengambil jalan berani menceburkan diri dalam dunia digital yang jarang dilakukan pelakon veteran lain.

Menurut wanita yang mesra disapa sebagai mama itu, keputusan menceburkan diri dalam dunia digital, khususnya sebagai pencipta kandungan TikTok bukan kerana bimbang nama dilupakan dari kotak ingatan ramai sebaliknya menikmati setiap rezeki diberikan Tuhan.

Takut nama dilupakan? Saya tidak kisah pun nama dilupakan atau sebaliknya, tiba masanya nanti, habislah semua.

“Sampai bila kita nak kejar nama itu semua? Tak kan mati nanti nak pacak bendera di kubur pula dengan tertulis Norlia Ghani punya kubur?

“Saya gembira dengan rezeki dan kehidupan ‘content creator’ yang Tuhan berikan walaupun pada usia sekarang. Seronok bila orang gembira tengok konten media sosial kita,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Dia mengakui tidak terlepas daripada dihambat dengan kecaman ramai susulan gelagatnya menari dan melakukan aksi di luar norma usia.

Norlia kini semakin aktif dalam dunia digital dan mula mengorak langkah sebagai pempengaruh walaupun usia kian mencemburui.

Namun, ibu kepada aktor, Rushdi Ramli itu tidak mengendahkan atau membaca semua komen negatif yang dilemparkan kepadanya.

“Saya memang suka menari dan menyanyi sejak dahulu, benda-benda ‘gedik’ ini okey saja nak buat. Selagi mendatangkan rezeki, saya okey.

“Masuk dunia ‘content creator’ ini pun idea pengurus saya, dia banyak membantu dalam setiap penghasilan konten. Dia banyak tapis komen-komen negatif netizen.

Buat masa ini saya hanya terima untuk reviu produk tertentu dan tolak kalau nak minta saya promosi barangan kosmetik dan berkaitan rawatan kecantikan,” katanya lagi.

Dia menambah, anak-anak juga memberi sokongan penuh terhadap kerjaya baharunya itu selagi tidak memudaratkan diri.

“Semuanya masih terkawal dan saya memang tak suka susahkan sesiapa, terutama anak-anak. Mereka pun tidak campur tangan dalam hal melibatkan media sosial saya.

“Mereka tidak komen apa-apa pun, selagi saya gembira, okey saja.

“Malah, saya bahagia buat konten yang buat orang gembira dan terhibur, dapat pahala juga,” ujarnya.

Dilihat ligat menghasilkan konten dalam media sosial, Norlia menegaskan dunia lakonan masih berterusan, namun bergantung kepada jadual dan bayaran yang setimpal.

Popular menerusi drama Quran Buruk arahan Rashid Sibir, Norlia bagaimanapun berkata akan terus menyahut tawaran lakonan selagi ada kudrat.

“Selalu dapat soalan sampai bila hendak berlakon, adakah sehingga mati? Saya cuma jawab selagi Allah beri rezeki dan tenaga, selagi itu saya akan lakukan.

“Namun pada usia sekarang, kalau boleh saya tak mahu susahkan sesiapa di set penggambaran terutama kalau tidak sihat ditambah pula pulang lewat malam.

“Kalau ada rezeki, saya teruskan tetapi tak mahu sampai meminta-minta dan doakan saya terus sihat saja,” jelasnya yang memulakan kerjaya lakonan pada usia 17 tahun.

Kata Norlia, beliau tidak selama-lamanya akan berkecimpung dalam dunia lakonan terutama dalam dunia media sosial yang kian melaju.

Nasihat pelakon baharu

Bercakap tentang lakonan, Norlia sempat memberi respons ‘pedas’ mengenai sikap segelintir pendatang baharu yang mempamerkan sikap negatif, termasuk tidak bertegur sapa dan kurang menghormati artis senior.

Normal kalau ada yang bersikap diva dan berlagak tidak bertegur di set penggambaran. Saya malas nak ambil pusing, lantaklah mereka nak tegur atau tidak, saya tidak rugi apa-apa.

“Sebelum mereka wujud, saya sudah ada dalam industri ini. Bukan nak cakap besar tetapi sikap sombong tidak akan bawa ke mana-mana pun.

‘Kalau pandai jaga karier, bertahan lama tapi jika tidak, sehari dua saja habislah semuanya. Ditambah pula kalau berlakon macam kayu, siapa nak panggil lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, sikap baik dengan individu sekeliling dan hadir bersama bakat adalah perkara yang perlu dimiliki setiap anak seni bagi memastikan kerjaya dalam industri bertahan lama.

“Nak berlakon senang tetapi mahu stabilkan kerjaya itu sukar. Tengah popular, bolehlah buat satu atau dua filem tetapi selepas muncul pelakon baru lain, hilang semuanya.

“Jagalah perangai dan lakonan. Jangan berlebih-lebihan atau ‘over’ sangat, risau cepat jatuh,” kongsinya.

Joyah

Kembali menoleh memori, Norlia mengakui masih dipanggil dengan nama Joyah iaitu watak dalam drama Opah lakonannya sekitar tahun 1980-an.

Dia malah beritahu pernah berasa rimas dengan panggilan tersebut, namun lama-kelamaan terbiasa bahkan bersyukur karakter wanita bermulut murai itu kekal diingati ramai.

“Walaupun kerjaya seni dimulakan dengan membintangi filem, saya perlu mengaku nama melonjak dan ‘top’ selepas membintangi drama Opah arahan Zohara Gany Mhd. Bathusha.

“Sehingga sekarang, watak Joyah melekat. Sampai ke hari ini orang masih panggil saya dengan nama tersebut, si Joyah mulut jahat.

“Dahulu, memang rasa marah sebab orang panggil Joyah, nama saya Norlia tau tetapi lama-lama saya fikir sebab watak itulah dikenali dan diingat,” tuturnya.

Norlia memberitahu, dia juga berbangga watak tersebut dikenali ramai termasuk bangsa lain.

“Dahulu rasa macam nama kampung sehingga ada yang lupa nama sebenar saya ialah Norlia.

Bukan hanya Melayu, orang Cina dan India pun panggil saya Joyah. Melekat sampai ke hari ini, satu rezeki betul,” akhirinya.


Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok