Peminat sanggup ‘sponsor’ RM20,000, Atilia terharu sokongan luar biasa

PENYANYI Atilia Haron terharu apabila menerima sokongan luar biasa daripada peminat setia, termasuk pasangan suami isteri yang sanggup menghulurkan tajaan sebanyak RM20,000 demi menjayakan konsert solo berskala besarnya.

Ujar Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat menjadi pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik pada Atilia Haron In Concert yang bakal berlangsung pada 19 September depan.

“Ada juga tajaan daripada peminat dalam bentuk wang. Bayangkan, saya ada pasangan suami isteri yang menjadi peminat setia. Mereka kata mahu beli tujuh tiket, tetapi sanggup bayar RM20,000.

“Saya sempat bergurau, kalau begitu duduk atas pentas pun boleh. Saya memang mempunyai peminat seperti itu. Disebabkan sokongan merekalah saya semakin yakin untuk teruskan konsert ini.

“Saya turut memohon geran, namun masih menunggu keputusan. Jika berjaya, banyak urusan akan menjadi lebih mudah kerana perlu membawa Sore Ze Band dari Indonesia. Kos penerbangan, permit PUSPAL, penginapan dan pelbagai perbelanjaan lain perlu difikirkan,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Sangkar itu, pasangan peminat terbabit sudah lama menyokong perjalanan seninya sehingga sanggup hadir ke setiap persembahan walaupun berdepan kekangan fizikal.

“Saya benar-benar berasa dihargai. Mereka mengikuti persembahan saya sejak dahulu lagi hingga sekarang. Isterinya pula tetap datang walaupun bertongkat.

“Saya sangat menghargai peminat seperti itu. Sebab itulah saya mahu memberikan yang terbaik untuk konsert ini,” ujarnya pada sidang media Atilia Haron In Concert, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Atilia berkongsi ibunya, penyanyi legenda Salamiah Hassan pada awalnya turut bimbang melihat kesungguhannya menganjurkan konsert selepas pengalaman menanggung sendiri kos penganjuran sebelum ini.

“Mak cuma pesan, ‘buatlah Atilia, tetapi jangan sampai rugi.’ Ketika Konsert Gelombang Bahagia bersama mama dulu, kami langsung tiada penaja. Semua saya biayai sendiri kerana saya tidak mahu menggunakan wang mama.

“Konsert itu sangat bermakna kerana menjadi peluang untuk saya berkongsi pentas dengan ibu. Memang kami sepatutnya mendapat penaja, tetapi pada saat akhir semuanya tidak menjadi.

“Kali ini mama risau perkara sama berulang, namun saya yakinkan dia bahawa insya-Allah keadaan lebih baik kerana sudah ada beberapa penaja tampil membantu,” tuturnya.

Atilia Haron In Concert bakal berlangsung pada 19 September 2026, pukul 8 malam di Robert’s Theatre, The Campus Ampang.

Konsert tersebut menjadi persembahan berskala besar pertama Atilia dalam fasa baharu kerjayanya, menawarkan pengalaman intim dan penuh emosi menerusi susunan lagu yang diolah dengan nafas baharu, sekali gus mencerminkan evolusi seni serta kematangan dirinya sebagai penghibur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok