Kahwin? Saya lebih suka kunci mulut hal peribadi – Sean Lee

DIKHABARKAN rancak melakukan persiapan perkahwinan, pelakon dan pengacara Sean Lee menafikan dakwaan tersebut selain membiarkan soalan tentang teman wanita menjadi persoalan.

Dalam masa sama, Sean atau nama lengkapnya Sean Lee Jia Ern, 30, memasang impian untuk mendirikan rumah tangga pada usia muda walaupun tiada lagi tarikh untuk hari bahagianya itu.

Saya tidak kenal wanita yang diberitahu. Mungkin pada mata semua saya tidak berpunya.

“Ada perancangan nak kahwin sebab memang dari awal saya merancang untuk nikah muda. Kalau ada rezeki, semuanya berjalan lancar saya akan berkahwin.

Tidak pasti sama ada tahun ini ataupun tidak. Banyak benda yang terjadi dalam hidup saya,” katanya pada pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Awards 2023, semalam.

Sementara itu, pengacara berbangsa Cina itu turut memaklumkan bahawa dia tidak terbuka untuk berkongsi perihal peribadi kerana enggan menjadi bahan ejekan orang ramai.

“Ya, saya rasa mahu rahsiakan kehidupan peribadi hanya untuk diri sendiri. Baik orang jangan masuk campur mengenai kehidupan peribadi saya.

“Bukan tidak bangga, cuma kenapa perlu kongsi semua perkara kepada satu dunia? Pada akhirnya, kita tidak akan dihargai.

Orang tidak kisah pun, mereka hanya mahu bercakap. Saya tidak mahu kehidupan peribadi saya dipermainkan di luar sana,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, pelakon drama One Million Dolla Voice itu hanya mampu serahkan segalanya kepada pencipta mengenai kehidupan terutama sekali soal perkahwinan.

“Saya rasa kalau kahwin akan beritahu tetapi bergantung kepada mod ketika itu. Lagipun, kalau tidak beritahu saya tak pernah hutang kamu semua apa-apa dalam hidup.

“Perkara ini bukan dalam kawalan saya dan serahkan kepada Dia (Tuhan). Biarkan Dia putuskan apa yang terjadi dalam kehidupan saya.

Dalam hidup ini, saya cuma mahu buat terbaik, ada kesihatan baik, habiskan masa dengan orang tersayang dan ada kehidupan bagus,” tutur personaliti YouTube itu.

Sebelum ini, timbul dakwaan Sean akan bernikah apabila seorang wanita yang dikatakan teman wanitanya memuat naik hantaran dalam Instagram menunjukkan persiapan kahwin. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok