‘Tak kisah dituduh gila, saya akan terus mesej Andre’

MAHU mengubat rindu yang menebal dalam diri, pelakon Amyza Aznan masih setia menghantar mesej pesanan ringkas kepada nombor milik anaknya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar sehingga ke hari ini.

Amyza, 50, berkata, dia akan terus melakukan perkara tersebut selagi nombor milik Andre masih aktif meski anak sulungnya itu sudah lima bulan meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga.

“Sampai sekarang saya masih hantar mesej ke nombor telefon bimbit miliknya. Nombor milik Andre masih lagi aktif.

“Saya tidak kisah dan akan terus mesej dia walaupun hanya satu ‘tick’. Sebab saya tahu sekarang walaupun ‘double tick’ pun tiada siapa jawab pun.

“Namun, saya okey saja, janji saya mesej dia, itu cara untuk luahkan rindu. Setiap hari saya hantar mesej ‘assalamualaikum anak, Andre'” katanya dalam nada sebak kepada HibGlam.

Ditemui pada majlis sidang media program Kilauan Emas, dia memberitahu perkongsian tersebut mendapat pelbagai respons daripada netizen yang mengakui turut melakukan hal sama.

“Sebenarnya bukan saya seorang saja yang buat begitu.

“Bila saya kongsi mengenai perkara tersebut dalam media sosial, ramai komen dan beritahu mereka juga melakukan hal sama.

Ada yang masih hantar mesej pada nombor suami, mak dan anak mereka sehingga hari ini. Sesiapa yang kehilangan pasti akan buat benda sama,” katanya lagi.

Dalam masa sama, dia mengakui tidak kisah dituduh sebagai individu tak waras kerana masih menghantar mesej kepada arwah anaknya.

“Itu saja pun penawar rindu juga. Walaupun tahu tak berjawab tetapi tidak mengapalah.

“Saya pun tak kisah orang nak cakap, tuduh saya gila atau tidak ‘move on'” ujarnya.

Terdahulu, tular video memaparkan Amyza yang juga peserta Kilauan Emas Selebriti 2026 menghubungi nombor milik Andre.

Video tersebut mengundang rasa sebak dan simpati ramai dalam media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok