Hubungan dengan adik kembali bertaut, Ameng jadi perantara – Syafiq Farhain

PENYANYI Syafiq Farhain meluahkan rasa syukur apabila hubungan dengan adik kandung berlainan ibu, Amirul Mukmin kembali bertaut selepas lebih sedekad terputus susulan kemelut dalaman keluarga.

Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A.M Salim, 32, berkata, mereka kembali bersemuka sekitar tiga bulan lalu atas inisiatif adiknya itu.

Kami baru sahaja jumpa semula dalam dua tiga bulan lalu selepas bertahun-tahun. Kali terakhir saya jumpa Amirul masa dia sekolah lagi, sekarang dah umur 23 tahun.

“Baru jumpa balik, akrab baliklah senang kata. Saya gembira dia sudi bertemu. Waktu itu bukannya saya tak sudi, cuma tak tahu cari di mana. Lagipun takut jadi isu lain,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran single Cerita Cinta, di sini, hari ini.

Menurut anak kepada vokalis Iklim, Allahyarham Saleem itu, pertemuan mereka berlaku selepas adik kandungnya itu berjumpa penyanyi Ameng Spring yang menjadi penghubung antara mereka.

“Waktu itu dia jumpa Ameng Spring. Saya pula memang selalu bertemu Ameng. Dia bagitahu, ‘Ni adik mu ni nak jumpa mu ni.’

Bila dapat berhubung, dia cakap baik-baik dan minta maaf atas apa yang berlaku dulu-dulu tu tapi sebenarnya pada saya hal dulu bukan salah dia pun.

“Dia tak tahu apa-apa. Masa itu dia masih kecil, darjah empat atau lima macam tu. Dia tak tahu nak fikir mana yang okey dan tidak,” ujarnya.

Bercerita mengenai keperibadian Amirul, pelantun lagu Sepi itu menyifatkan adik kandungnya sebagai seorang lelaki baik dan berbudi pekerti tinggi.

Dia pun orangnya beradab, tidak seperti mana sangkaan saya sebelum ini. Sebab dulu saya fikir mungkin dia tidak suka saya, tapi sebenarnya benda sebegitu tak wujud pun. Orangnya pun baik sahaja,” katanya.

Pada masa sama Syafiq berkata, mereka berdua kini semakin selesa berkomunikasi walaupun masih ada sedikit kekok selepas sekian lama terpisah.

“Alhamdulillah okey, selalu berbalas mesej. Saya layan dia macam adik yang lain. Cumanya ada sedikit janggal sebab lama tak jumpa.

Saya kalau layan adik-beradik lain macam kawan-kawan. Tapi saya takut bila saya buat macam tu, dia kurang selesa sebab cara kita membesar mungkin berbeza,” kongsinya.

Syafiq Farhain merupakan anak keempat daripada lima beradik hasil perkahwinan Saleem dengan bekas isteri, Napisah Muhammad Juwita, manakala Amirul merupakan anak tunggal Saleem bersama Julia Bachok.

Sementara itu, mengenai penerbitan lagu Cerita Luka selepas dua tahun menyepi, Syafiq mengakui lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh menawarkan kelainan menerusi sentuhan moden slow rock balada.

“Ketika pertama kali mendengar Cerita Luka, saya terus menyukainya. Lagu ini menawarkan kelainan menerusi sentuhan moden slow rock balada dan sesuai dijadikan karya untuk menandakan kemunculan semula saya selepas dua tahun,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok