‘Ramyun’ popular gegar musim ketujuh Big Stage Rocketfuel

KEMUNCULAN sulung NONGSHIM sebagai penaja program realiti popular, Big Stage Rocketfuel musim ketujuh bukan sekadar mencuri perhatian penonton, malah menjadi strategi penting jenama ramyun nombor satu Korea itu untuk terus mengukuhkan pengaruhnya di pasaran Malaysia.

Bersempena ulang tahun ke-40 jenama berkenaan, penajaan tersebut dilihat sebagai langkah memperluaskan lagi keterlihatan NONGSHIM di negara ini, sejajar dengan trend syarikat korporat memanfaatkan program televisyen sebagai platform pemasaran yang lebih berimpak.

Pengedar eksklusif NONGSHIM di Malaysia, GBA Corporation Sdn. Bhd. menyifatkan pendekatan itu sebagai antara usaha memperkukuhkan hubungan dengan pengguna yang kini semakin cenderung kepada pengalaman jenama yang lebih dekat dan interaktif.

Pengurus Komersialnya, Foo Siew Kheng berkata, landskap pemasaran kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada iklan komersial, sebaliknya penajaan program televisyen menjadi medium efektif untuk meningkatkan keterlihatan jenama serta membina kepercayaan pengguna.

Katanya, pemilihan sesuatu program juga perlu selari dengan demografi sasaran bagi memastikan pulangan pelaburan yang lebih berkesan.

“Menerusi Big Stage Rocketfuel, NONGSHIM mahu mengetengahkan nilai positif selain membina reputasi jenama yang kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan kami sebagai antara jenama makanan Korea paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.

“Pendekatan ini membolehkan lebih dekat dengan masyarakat, khususnya golongan keluarga, selain menawarkan pengalaman menikmati makanan Korea yang autentik, berkualiti premium dan mudah disediakan,” katanya.

Ditubuhkan pada 1987, GBA Corporation merupakan antara syarikat pengedaran dan pemasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) terkemuka di Malaysia yang memasarkan pelbagai jenama makanan dan minuman antarabangsa ke pasaran tempatan.

Mengulas lanjut, Siew Kheng berkata, Big Stage Rocketfuel dipilih kerana program itu kembali dengan musim baharu yang lebih segar menerusi barisan peserta berbakat serta persembahan yang kompetitif setiap minggu.

“Seperti SHIN Ramyun yang kekal menjadi pilihan peminat makanan Korea selama 40 tahun, kami mahu melihat bakat yang bukan sekadar mencipta sensasi sementara, sebaliknya mampu bertahan, kekal asli dan terus relevan dalam industri.

“Semangat itulah yang menghubungkan NONGSHIM dengan Big Stage Rocketfuel kerana kedua-duanya meraikan kualiti, ketulenan dan keberanian untuk terus berada di puncak,” ujarnya.

Program Big Stage Rocketfuel yang mula bersiaran sejak 28 Jun lalu pada setiap Ahad malam menampilkan pencarian bakat solo atau duo paling menyerlah dengan mengutamakan identiti, kreativiti dan daya tahan dalam industri muzik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok