Cik Man kritikal, saluran jantung tersumbat

PELAKON Cik Man terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah, Kelantan susulan masalah saluran jantung tersumbat.

Perkara tersebut dimaklumkan pelawak Amir Raja Lawak yang memberitahu keputusan menidurkan Cik Man dibuat bagi membolehkan dia berehat selain memudahkan urusan rawatan doktor.

“Assalamualaikum. Dimaklumkan, Cik Man dimasukkan ke Hospital Tanah Merah tengah malam semalam.

“Keadaan dia terkini kritikal kerana saluran jantung tersumbat dan kini ditidurkan untuk dia rehat serta doktor lakukan rawatan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Pada masa sama, Amir menjelaskan bahawa pemilik nama lengkap Kamarool Haji Yusoff, 67, buat masa ini tidak dibenarkan untuk dilawat selain akan berkongsi maklumat terkini berkenaan pelakon itu.

“Buat masa sekarang tak dibenarkan melawat.

“Ada apa-apa perkembangan, insya-Allah saya akan maklumkan juga. Doa segala kebaikan buat Cik Man,” jelasnya.

Selain itu, Amir turut mendoakan urusan pelakon filem 6 Jilake itu dipermudahkan dan kembali sihat seperti sedia kala.

“Didoakan Allah permudahkan urusan rawatan Cik Man dengan baik-baik sahaja, semoga Cik Man cepat sembuh, pulih sihat seperti sediakala, Amin Ya Mujib Ya Rabbal Alamin,” ujarnya.

Cik Man sebelum ini melakukan kemunculan sulung membawakan watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja.

Panggilan Farouk yang dahulunya sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kini sudah bertukar kepada Cik Man, nama wataknya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok