BINTANG veteran Kamarool Cik Man atau Kamarool Haji Yusoff, 67, dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang tadi.
Anak keduanya, Fakhrol Aliff mengesahkan perkara tersebut selepas bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
“Saya baru balik dari rumah tadi, rasanya dalam pukul 5 petang.
“Saya balik mandi lepas jaga abah tadi, selepas itu kakak telefon kata datang hospital sebab abah dah tak ada,” katanya kepada HibGlam ketika dihubungi, sebentar tadi.
Kongsinya lagi, pelakon filem Rock Oo itu sempat mengadu sakit perut beberapa hari sebelum ditidurkan semalam.
“Abah sebelum ini tak sakit teruk pun, kali terakhir dia kena serangan jantung dua tahun lepas.
“Selepas itu, apabila periksa jantung semua tak ada masalah tapi dia selalu sakit perut macam kena gastrik. Dia teruk semalam.
“Dia ada mengadu sakit tapi gastrik, sakit perut dan sakit belakang. Macam angin begitulah.
“Bila ajak pergi hospital dia tak nak. Semalam, dia dah tak tahan sangat dah,” katanya lagi.
Jenazah akan dikebumikan pada 11 pagi esok di kampungnya, Tanah Merah, Kelantan.
Semalam, Cik Man ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan masalah saluran jantung tersumbat.
Cik Man sebelum ini melakukan kemunculan sulung membawakan watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja.
Panggilan Farouk yang dahulunya sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kini sudah bertukar kepada Cik Man, nama wataknya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid. – HIBGLAM
