Pelakon jelita Reen Rahim terpaksa menyimpan hasratnya untuk menimang cahaya mata buat sementara waktu disebabkan komitmen kerjaya selain terikat kontrak yang telah ditandatangani bersama sebuah jenama kenderaan.
Bagaimanapun, Reen atau nama lengkapnya Noreen Ashikin Abdul Rahim percaya pada aturan Allah selain yakin pasti ada hikmah disebalik pengorbanannya itu.
“Buat masa sekarang, saya memang tidak boleh mengandung sebab terikat dengan kontrak. Jadi soal memiliki cahaya mata itu terpaksa saya dan Hazim (suami) tangguhkan buat sementara waktu,” luahnya.
Dalam pada itu, Reen bersyukur suaminya, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin, memahami cara kerja seorang anak seni dan menyerahkan sepenuhnya soal zuriat kepada Tuhan.
“Alhamdulillah, suami sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya. Bila tamat kontrak nanti, kami serahkan sepenuhnya kepada Allah soal anak,” ujar Reen.
Paling penting kata Reen, semuanya sudah ditulis cantik oleh Sang Pencipta, dia yakin Allah adalah sebaik-baik perancang buatnya dan suami tercinta.
“Kami percaya, semuanya sudah tertulis dengan cukup baik buat kami. Jodoh saya dan suami juga diaturkan oleh Tuhan.
“Jadi apa sahaja yang buat kami gembira, kami lalui bersama dengan tenang dan yakin itu yang terbaik,” ujar Reen yang kini sedang giat mempromosikan filem baharu lakonannya, Sue-On.
Dalam perkembangan lainnya, pelakon berusia 35 tahun itu kini lebih memberi fokus kepada perniagaan yang semakin stabil.
Bagaimanapun, dia tidak akan menoktahkan perjalanan kerjayanya meskipun dihimpit jadual yang sangat padat.
“Saya tetap akan berlakon cuma sekarang saya lebih fokus sebagai seorang ahli perniagaan atau usahawan.
“Syukur banyak rezeki datang untuk saya dan suami selepas kami berkahwin, duduk rumah pun boleh jana pendapatan,” ujar Reen.
Reen dan Hazim mendirikan rumah tangga dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Boraombak Marina, Putrajaya pada Disember tahun lalu dan belum dikurniakan cahaya mata. – HIB GLAM