‘Saya sudah berjaya’ – Bront Palarae genggam MBA

SELEPAS lima tahun menempuh perjalanan penuh liku, pelakon Bront Palarae akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), sekali gus melengkapkan satu lagi pencapaian besar dalam hidupnya.

Ujar Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 48, perjalanan untuk melangkah ke alam pengajian tinggi bukan mudah apabila dia perlu melalui laluan akademik tidak konvensional sebelum diterima masuk menerusi laluan APEL A.

“Lima tahun saya habiskan hanya untuk membuka pintu. Saya tidak melalui laluan akademik konvensional. Banyak pintu diketuk, banyak perkara perlu difahami dan akhirnya saya berjaya mencari jalan masuk menerusi APEL A.

Kemudian bermulalah 16 bulan penuh tugasan, tarikh akhir, kerja berkumpulan, berjaga malam, persahabatan baharu serta tiga minggu amat mencabar di Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Boston. Akhirnya saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya dalam Instagram.

Tambah bintang filem One Two Jaga itu, tempoh 16 bulan sepanjang mengikuti pengajian MBA memberikan pengalaman cukup mencabar, namun pada masa sama amat bermakna.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Pani Puree selepas kumpulan tersebut dinobatkan sebagai Pasukan Pembelajaran Tindakan Terbaik menerusi projek praktikum bersama SRK India.

“16 bulan terakhir ini sangat mencabar, merendahkan ego, memenatkan tetapi pada masa sama amat berbaloi.

“Kepada rakan sekelas, terima kasih atas segala kebaikan, kemurahan hati dan kesediaan untuk sentiasa membantu. Saya belajar daripada kalian sama banyak seperti di dalam bilik kuliah.

Kepada Team Pani Puree, Pasukan Pembelajaran Tindakan Terbaik untuk praktikum bersama SRK India, ucapan ‘saya bangga’ masih belum cukup untuk menggambarkan perasaan itu. Sungguh cara terbaik untuk kita menamatkan perjalanan ini bersama,” ujarnya.

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Trust Gu Thai Film Awards 2024 itu tidak melupakan jasa pengurus akademik serta barisan profesor sepanjang pengajiannya kerana sentiasa memberikan bimbingan selain mencabar cara pemikirannya.

Kepada pengurus akademik, terima kasih kerana sentiasa berada di sisi setiap kali saya memerlukan panduan atau bantuan.

“Kepada semua profesor, terima kasih kerana mencabar cara saya berfikir serta segala ilmu diberikan, sama ada di dalam mahupun di luar bilik kuliah,” kongsinya.

Paling penting kata Bront, penghargaan teramat istimewa diberikan kepada keluarganya atas kesabaran, pengertian serta sokongan sepanjang dia mengejar impian akademik berkenaan.

“Paling utama, buat keluarga saya, terima kasih atas kesabaran, pengertian serta ruang dan sokongan diberikan untuk saya melakukan semua ini, walaupun bermakna masa bersama kalian menjadi semakin terhad.

Saya benar-benar tidak mampu melakukannya tanpa kalian semua. Lima tahun untuk masuk. 16 bulan untuk mengharunginya. Semuanya berbaloi. Semalam, saya akhirnya dapat mengatakan saya sudah berjaya.

“MBA selesai, Program Imersi MIT selesai dan Anugerah Projek Pembelajaran Tindakan Terbaik juga selesai. Alhamdulillah,” luahnya.

Perkongsian Bront itu mengundang pujian netizen, malah ramai menganggap kejayaannya sebagai inspirasi kerana mampu membahagikan masa antara kerjaya seni, keluarga dan pengajian.

Ada juga menyifatkan pencapaian tersebut membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang kembali mengejar ilmu serta mencabar kemampuan diri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok