LIGAT membuat persediaan hari bahagia, penyanyi dan pelakon Bella Astillah tidak lupa menghargai barisan bridesmaid atau pengapitnya dengan memberikan hadiah istimewa.
Tampil dengan kelainan, tunang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menghadiahkan sebuah bagasi merah jambu dipenuhi pelbagai kelengkapan untuk setiap pengapitnya.
“Saya dah dapat lelaki pilihan hati, tapi saya perlukan gadis istimewa saya. Sudikah kamu menjadi pengapit saya?”, itu ucapan ditulis Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, pada nota penghargaan.
Menerusi video ‘unboxing’ dikongsikan di media sosial, rakan-rakannya kelihatan teruja ketika membuka bagasi berkenaan.
Antara isi bagasi yang menangkap perhatian netizen adalah pengering rambut, set barangan kecantikan, baju panas bertulis ‘Bridesmaid’ serta aksesori lain.
Bella turut menyertakan kelengkapan ibadah termasuk sejadah atau tuala yang dihiasi nama setiap pengapit, selain kotak eksklusif rona kuning keemasan.
Wajah kesemua pengapitnya teruja saat menerima bingkisan khas tersebut selepas mereka berkumpul menikmati hidangan enak bersama bakal pengantin.
Penghargaan Bella untuk sahabat karibnya itu turut meraih pujian atas sikap pemurahnya, malah ada pengikut lain yang secara berseloroh menawarkan diri menjadi pengapit.
“Alhamdulillah, seronoknya jadi kawan baik Bella. Banyak hadiah. Moga murah rezeki selalu,” tulis seorang netizen.
Terdahulu, selepas membiarkan orang ramai berteka-teki, Bella dan Syed Saddiq mengumumkan pernikahan mereka akan berlangsung pada 10 Oktober depan.
Majlis pernikahan pasangan romantik itu bakal berlangsung di bangunan kedua tertinggi dunia, Menara Merdeka Maybank. – HIBGLAM
