VOKALIS dan pemain gitar kumpulan The Times, Naza meluahkan rasa terkilan apabila pesanan terakhir bekas pemain gitar serta keyboard kumpulan itu, Allahyarham Nazreen, tidak sempat ditunaikan sebelum pemergiannya.
Ujar Naza atau nama sebenarnya Natazar Mohamad, 51, perbualan terakhir bersama arwah kira-kira sebulan sebelum kejadian seakan-akan membawa satu petanda, namun tidak disedarinya ketika itu.
“Paling mengejutkan, dia sudah lama tidak menghubungi saya, tetapi sebulan lalu dia telefon. Dia bertanya khabar mengenai kami dan kata rindu hendak menyanyi bersama The Times.
“Dia turut bertanya sama ada kami mempunyai album baharu selain meminta saya hantarkan album serta baju-T The Times bergambar dirinya. Saya beritahu akan hantar ke Kuching.
“Tetapi apabila adik saya pulang ke sana, saya terlupa untuk kirimkan barang tersebut. Perkara itu membuatkan saya agak terkilan. Rupa-rupanya itu panggilan terakhir daripada dia, seolah-olah satu petanda, tetapi kami tidak menyedarinya,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas kemalangan meragut nyawa Nazreen, Naza berharap individu memiliki rakaman kamera papan pemuka ketika kejadian tampil membantu siasatan pihak berkuasa.
Katanya, sehingga kini masih belum ada perkembangan lanjut berhubung insiden berkenaan berikutan ketiadaan bukti atau rakaman pelanggaran.
Sampai sekarang kami tidak tahu siapa melanggarnya, malah jenis kereta terbabit juga tidak diketahui. Saya sangat berharap sesiapa di Miri, Sarawak yang mempunyai rakaman dashcam dapat tampil memberikan maklumat.
“Kesian sangat pada arwah. Kes langgar lari seperti ini memang tidak adil untuk dia dan keluarga. Anak dia pula masih kecil,” luahnya pada sidang media 2 Konsert 2 Generasi 2026 di Odeon, di sini, hari ini.
Mengimbas perjalanan bersama The Times sejak kumpulan itu ditubuhkan sekitar 2007, Naza menyifatkan Nazreen sebagai pemuzik berbakat, peramah serta cukup dekat dengan peminat.
“Lagu-lagu popular The Times memang banyak menampilkan permainan gitar arwah. Dia seorang sangat merendah diri dan mudah didekati peminat.
“Dia tidak memilih kawan dan peminat, malah budak-budak juga sangat menyenanginya. Sampai sekarang ada peminat memuat naik gambar baju pernah arwah hadiahkan kepada mereka. Dia memang seorang sangat baik,” jelasnya.
Untuk rekod, Nazreen, 51, menghembuskan nafas terakhir pada 24 Ogos lalu selepas empat hari berada dalam keadaan koma di Hospital Miri, Sarawak.
Allahyarham dilaporkan terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika menunggang motosikal sebelum menerima rawatan di hospital berkenaan. – HIBGLAM
