‘Saya jahil agama’ – Remy Ishak keliru laung azan subuh dua kali

AKTOR Datuk Remy Ishak menjelaskan pertanyaannya dalam media sosial berhubung mendengar laungan azan sebanyak dua kali di kawasan kediamannya baru-baru ini adalah untuk mendapatkan kesahihan mengenai perkara tersebut.

Tidak pernah melalui situasi tersebut sebelum ini, Remy, 44, berkata, penjelasan dan respons yang diberikan orang ramai terhadap persoalannya itu menjawab segala teka-teki yang bermain dalam fikiran.

“Sebenarnya, saya tahu tentang azan dua kali untuk Subuh, namun bimbang pendengaran saya pada waktu itu hanya mendengar azan di satu bangunan saja atau suara dari luar.

“Selepas melihat ramai memberikan komen dan memberitahu bahawa memang ada azan yang dilaungkan dua kali, barulah saya tahu perkara tersebut memang diamalkan di sesetengah tempat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Katanya, tidak salah untuk bertanya mengenai perkara tersebut memandangkan tidak pernah menetap di kawasan yang azan Subuh dilaungkan sebanyak dua kali.

“Memang ada sesetengah lokasi di Malaysia yang melaungkan azan subuh sebanyak dua kali, tetapi mungkin di tempat saya tidak diamalkan perkara tersebut.

“Saya tak pernah berada di tempat yang mengamalkannya, belum rezeki saya.

“Bila saya duduk di kawasan sekarang, kerap mendengar azan dua kali dan mula tertanya-tanya sama ada betul atau tidak. Sebelum ini, tak pernah bertanya tentang perkara tersebut,” katanya lagi.

Tambahnya, setiap kali mendengar laungan azan dua kali, dia tertanya-tanya sama ada perkara tersebut merupakan audio yang dimainkan oleh jiran setempat.

“Saya pernah terfikir, mungkin ada orang memasang audio di dalam surau atau mungkin ada yang memasang loceng di rumah yang berbunyi azan.

“Tetapi apabila semakin kerap mendengarnya, saya mula rasa pelik dan curiga kerana memang tidak pernah tahu tentang perkara tersebut.

“Saya pun jahil juga dari segi agama sebab ada sesetengah tempat tidak mengamalkan perkara seperti itu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Remy memberitahu ada individu yang menjelaskan kepadanya azan pertama dilaungkan untuk mengejutkan mana-mana individu melakukan solat Tahajud.

“Kalau laungan pertama itu dibuat sebelum masuk waktu Subuh, selalunya untuk mengejutkan orang supaya bangun menunaikan Tahajud.

“Saya pun tidak tahu sebab saya biasanya menunaikan Tahajud pada pukul 2 pagi.

“Jadi, saya masih jahil tentang agama dan tidak berani untuk bercakap banyak mengenai perkara ini,” tuturnya.

Terdahulu, Remy atau nama penuhnya Mohammad Zalimei Ishak menuai perhatian ramai apabila memuat naik hantaran yang bertanya sama ada mendengar dua kali azan adalah perkara normal atau sebaliknya.

“Saya selalu terdengar bunyi azan tepat pukul 5 pagi walaupun waktu Subuh di Jalan Ampang pukul 6.01 pagi.

“Adakah perkara ini normal atau saya seorang X-Men?” soalnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok