SELEPAS hampir satu setengah tahun menanti, peminat kumpulan rock alternatif terkenal, My Chemical Romance (MCR), akhirnya berpeluang menyaksikan idola mereka beraksi secara langsung menerusi dua malam konsert penuh magis di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 19 dan 20 November lalu.
Lebih mengagumkan, kehadiran hampir 130,000 peminat sepanjang dua malam tersebut sekali gus menjadikan Kuala Lumpur lokasi dengan jumlah penonton terbesar bagi persembahan MCR dalam siri jelajah Asia Tenggara kali ini.
Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri lautan manusia yang bukan sahaja menyaksikan persembahan bertenaga kumpulan itu, malah turut mengalunkan lagu-lagu popular mereka secara beramai-ramai, mencipta momen penuh emosi yang pastinya sukar dilupakan.
Bagi peminat setia MCR, dua malam berkenaan bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya menjadi pertemuan istimewa dengan muzik yang pernah mewarnai zaman remaja, mengiringi perjalanan hidup dan menyimpan seribu satu kenangan.
Namun, di sebalik kemeriahan serta kejayaan luar biasa itu, tersimpan perjalanan panjang yang turut menuntut kesabaran dan komitmen daripada pihak penganjur, Hello Universe.
Sebagai pihak yang membawa impian menyaksikan MCR beraksi di Malaysia, Hello Universe akhirnya mampu menarik nafas lega apabila segala usaha dan cabaran sepanjang hampir 18 bulan membuahkan hasil.
Bermula dengan pengumuman konsert yang disambut penuh keterujaan, penjualan tiket yang mendapat sambutan luar biasa, sehinggalah berdepan penangguhan serta pelbagai cabaran penganjuran, perjalanan merealisasikan konsert tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.
Justeru, kejayaan menghimpunkan hampir 130,000 peminat dalam tempoh dua malam membuktikan bahawa penantian panjang itu bukan sesuatu yang sia-sia.
Dalam masa sama, pencapaian berkenaan turut memperlihatkan potensi Malaysia sebagai destinasi penting bagi penganjuran konsert antarabangsa berskala besar, sekali gus membuktikan negara ini mempunyai pasaran peminat yang mampu memberikan sambutan luar biasa terhadap persembahan bertaraf dunia.
Di sebalik puluhan ribu suara yang bergema di Bukit Jalil, nama Hello Universe pastinya menjadi antara sebahagian daripada kisah kejayaan yang wajar diberikan penghargaan.
Terima kasih Hello Universe kerana merealisasikan impian ribuan peminat Malaysia yang sekian lama menantikan kepulangan MCR ke pentas tempatan.
Hampir 18 bulan penantian, dua malam penuh kenangan, hampir 130,000 peminat dan satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan. – HIBGLAM

