Drama dua minit, kuasa AI

PENINGKATAN penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan Generatif (AIGC) atau lebih mudah disebut AI dalam industri kreatif membuka ruang baharu kepada penghasilan kandungan digital yang lebih pantas, fleksibel dan menjimatkan kos.

Seiring perkembangan video berdurasi pendek, khususnya drama menegak atau vertical drama, tenaga kerja industri media perlu menguasai kemahiran baharu bagi memenuhi perubahan cita rasa penonton serta keperluan platform digital seperti TikTok, YouTube Shorts dan perkhidmatan penstriman mikrodrama.

Menyedari keperluan itu, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menganjurkan Bengkel Mikrodrama AI selama empat hari di Makmal Kreatif, Bangunan Ilmu, IPPTAR, bagi memberikan pendedahan praktikal mengenai penghasilan kandungan drama menegak menggunakan teknologi AIGC.

Memuatkan artikel berkaitan…

Koordinator Kluster Industri Kreatif (KIK), Sunarti Jazliza Jamin berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha IPPTAR memperkukuh kompetensi tenaga kerja industri media agar lebih bersedia menghadapi transformasi penyiaran dan penerbitan digital.

Menurutnya, IPPTAR turut menanggung kos latihan serta menyediakan langganan perisian AI premium sepanjang bengkel bagi membolehkan peserta meneroka teknologi berkenaan secara langsung dengan bimbingan pengajar.

Bengkel merangkumi empat modul utama yang membimbing peserta melalui keseluruhan proses penerbitan mikrodrama, bermula daripada pembangunan idea sehingga penghasilan karya akhir.

Pengasas dan Pengarah Teknologi Kreatif Bengkel Mikrodrama AI, Sham Yunus pula berkata, modul pertama memberi tumpuan kepada struktur dan anatomi drama menegak, termasuk pembinaan jalan cerita, struktur episod berdurasi dua hingga lima minit serta teknik menghasilkan pembukaan yang mampu menarik perhatian penonton.

Aspek perkembangan cerita dan pengakhiran yang mencetuskan rasa ingin tahu penonton turut diberi penekanan bagi mendorong mereka mengikuti kesinambungan episod seterusnya.

Modul kedua pula memperkenalkan aplikasi visual dan pengarahan, merangkumi pembangunan skrip, pemilihan lensa, jarak kamera, pencahayaan, warna serta penyusunan adegan. Peserta turut menghasilkan senarai syot (shot list) dan papan cerita (storyboard) sebagai panduan sebelum proses penerbitan.

Menurut Sham, perancangan kreatif dan hala tuju visual yang jelas tetap menjadi asas penting kerana kekuatan sesebuah mikrodrama bukan semata-mata bergantung pada teknologi yang digunakan.

Modul ketiga memberi pendedahan kepada penjanaan video menggunakan AI, termasuk teknik membina arahan teks (prompt), menghasilkan dialog, menyelaraskan pergerakan bibir (lip-sync) serta menjana adegan berdasarkan keperluan penceritaan.

Peserta juga mempelajari aspek pemilihan klip dan kawalan kualiti bagi memastikan hasil penjanaan AI menepati konsep, jalan cerita dan kesinambungan visual.

Sementara itu, modul keempat melengkapkan proses penerbitan menerusi penyuntingan audio, kemasan akhir, eksport dan penilaian karya. Peserta didedahkan kepada teknik menyusun klip, memperkemas audio serta memasukkan bunyi persekitaran, kesan bunyi dan muzik latar sebelum menghasilkan video akhir.

Pada penghujung bengkel, setiap peserta disasarkan menghasilkan sebuah episod perintis mikrodrama AI berformat menegak berdurasi dua hingga lima minit menerusi projek individu.

Seorang peserta, Syazwani Suleiman berkata, bengkel itu telah memberikan pengalaman pembelajaran bermakna, khususnya dalam memahami penggunaan AI generatif sebagai pendekatan baharu penghasilan kandungan kreatif.

Dia percaya kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam penghasilan kandungan digital pada masa hadapan, terutama video pendek yang lebih kreatif dan bersesuaian dengan keperluan penonton masa kini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Bahagian Akademik (KBA) IPPTAR, Mohammad Yusari Ameer Mohd. Yusof berkata, penganjuran bengkel itu mencerminkan komitmen institut berkenaan dalam memperluas akses kepada latihan berasaskan teknologi baharu.

Menurutnya, perkembangan AI generatif bukan sahaja membuka peluang dalam penerbitan video menegak dan mikrodrama, malah menuntut tenaga kerja industri menguasai kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam persekitaran kerja sebenar.

Harapannya, pendekatan latihan secara amali dapat meningkatkan keyakinan peserta meneroka teknologi AI secara terancang, tanpa mengetepikan kreativiti, ketelitian dan pertimbangan manusia dalam menghasilkan kandungan berkualiti serta relevan dengan kehendak khalayak. 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok