PENYANYI Aina Abdul memohon maaf kerana tidak berjaya memenuhi harapan rakyat Malaysia untuk muncul juara Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, malam tadi.
Aina yang menduduki tempat keempat dengan kutipan 152 markah mengakui sedar ramai peminat dan rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi untuk melihatnya mengungguli pertandingan tersebut.
Bagaimanapun, kemenangan menjadi milik wakil Filipina, Carmelle yang mengumpul 211 markah, sekali gus mengatasi 10 peserta lain.
Menerusi perkongsian di akaun Threads TV3, Aina berkata, dia yakin sudah memberikan persembahan terbaik dan menganggap penyertaannya dalam pertandingan itu sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanan kerjaya seninya.
Saya minta maaf sekiranya mengecewakan anda semua. Saya yakin kami sudah melakukan yang terbaik dan saya juga sudah memberikan segala-galanya.
“Namun, ini antara perjalanan terbaik dalam kerjaya saya kerana pengalaman ini tidak pernah ada dalam buku atau mana-mana panduan. Saya perlu melaluinya sendiri,” katanya.
Aina yang dilihat sebak ketika berkongsi perasaannya sehingga terdiam seketika bagaimanapun menjelaskan, air mata yang mengalir bukanlah tanda dia berasa kalah atau sukar menerima keputusan pertandingan.
Sebaliknya, penyanyi lagu Sumpah itu menyifatkan tangisan berkenaan sebagai luahan emosi selepas melalui perjalanan panjang yang sarat dengan cabaran.
“Walaupun saya mengalirkan air mata, bukan bermakna saya kalah dengan diri sendiri. Itu cuma emosi selepas segala-galanya selesai.
“Saya tahu diri saya. Saya cuma perlukan beberapa jam, mungkin sehari atau beberapa hari. Selepas itu, saya akan baik-baik sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Aina turut meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi pasukan kerja yang hebat sepanjang mengharungi pertandingan berkenaan.
Mengakui tidak berjaya membawa pulang kemenangan, namun Aina berkata, pengalaman serta sokongan yang diterima sepanjang perjalanan itu sudah cukup bermakna buat dirinya.
“Walaupun tidak menang, tapi kita sudah memenangi hati masing-masing dan itu paling penting,” katanya.
Aina turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang penyertaannya dalam pertandingan berkenaan.
Dia berharap dapat kembali bertemu peminat menerusi projek seni, konsert dan pelbagai perancangan lain selepas ini.
“Terima kasih dari lubuk hati saya atas segala sokongan. Saya sayangkan anda semua,” katanya.
Aina mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri berjudul Bluest Sky sebagai wakil Malaysia dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 yang menghimpunkan peserta dari 11 negara Asia. – HIBGLAM

