‘Pemergian insan tersayang kehilangan berat’ – Abang Rita Rudaini meninggal dunia

PELAKON Rita Rudaini berdepan detik pilu apabila abang sulungnya, Ahmad Musyaiful Mokhtar, meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Allahyarham Ahmad Musyaiful, 51, sebelum ini dikejarkan ke hospital selepas rebah ketika menghadiri satu acara membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya.

Rita ketika mengesahkan berita duka itu berkata, dia menerima perkhabaran mengenai pemergian abangnya daripada anak Allahyarham pada awal pagi tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengakui kehilangan tersebut amat memberi kesan kepada dirinya dan keluarga, Rita turut memohon orang ramai memberikan ruang kepada mereka untuk melalui saat sukar berkenaan.

Pemergian insan tersayang ini tentunya satu kehilangan yang amat besar buat saya dan seluruh keluarga. Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan saya saat menerima berita duka ini daripada anak arwah awal pagi tadi.

“Saya memohon agar semua dapat mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Saya juga memohon agar diberikan ruang kepada saya dan keluarga untuk melalui saat sukar ini dengan tenang.

“Terima kasih kepada semua yang menitipkan doa, ucapan takziah dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Setakat ini, punca kematian Allahyarham masih belum disahkan.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halaman keluarga di Kangar, Perlis, untuk dikebumikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok