RISAUKAN penerimaan penonton terhadap filem sulung arahannya, Pemuja Syaitan, pelakon juga pengarah, Liyana Jasmay mengalami masalah gangguan tidur sehingga memberi kesan terhadap penampilannya.
Menurut Liyana, kebimbangan tersebut timbul disebabkan terlalu memikirkan sama ada emosi yang cuba disampaikan menerusi filem berkenaan dapat dirasai penonton atau tidak.
Saya tidak boleh tidur dan berat badan juga naik empat kilogram (kg). Memang kena diet.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Risau tentang penerimaan penonton, ditambah pula saya seorang pengarah yang sangat pentingkan rasa,” katanya kepada HibGlam.
Ditemui pada majlis tayangan khas malam tadi, bintang Papadom itu memberitahu penekanan untuk memastikan ‘rasa’ tersebut sampai kepada penonton merupakan antara perkara penting yang dipelajarinya dalam penghasilan sesebuah karya.
Saya macam risau kalau orang tak boleh rasa perkara sama setiap pelakon alami dalam filem ini.
“Mungkin benda itu yang dititipkan dalam pelajaran ataupun benda yang saya belajar sebelum ini.
“Kalau orang dapat rasa, bermaksud sudah berjaya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pengarah berusia 38 tahun itu berharap oramg ramai khususnya pencinta filem tanah air memberi peluang untuk Pemuja Syaitan yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober ini.
Katanya, dia menjadikan naskhah seram luar negara yang ditonton ketika awal era 2000-an sebagai inspirasi penghasilan Pemuja Syaitan.
“Memang saya sengaja buat konsep ‘teen slasher’ atau filem seram remaja sebab jarang filem Malaysia buat jalan cerita begini.
Rujukan saya memang filem-filem era 2000. Kalau siapa pernah tengok I Know What You Did Last Summer, Urban Legend. Saya membesar menonton filem seperti ini.
“Jadi mungkin kalau korang perasan kenapa filem ni diset pada tahun 1996. Saya memang sengaja nak dia jadi pada tahun 1996 dan 1997 untuk universe dia,” jelasnya.
Dalam masa sama dia memuji kesungguhan setiap pelakon yang terlibat dalam naskhah tersebut selain bersyukur mendapat khidmat individu hebat di belakang tabir Pemuja Syaitan.
Pemuja Syaitan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Aila Azizul, Nadhir Nasar dan Elizabeth Tan. Filem berkenaan turut dibimtangi Ellyza Azizi, Dhabita Auji, Aida Amron, Hakim Khan, Nat Aaliyah, Rosdeen Suboh, Dee Al Hadi, Yusuf Amin, Atoi Tohet, Selena Jasmay dan Marsha Biddulph.
Diterbitkan Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution, Pemuja Syatian turut menjalin kerjasama dengan Skop Productions Sdn Bhd sebagai rakan pengedaran manakala Primeworks Studios bertindak sebagai rakan pemasaran.
Filem bergenre seram dan thriller itu mengisahkan sekumpulan pelajar sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau sebelum berlaku pelbagai perkara misteri dan mengerikan terhadap mereka. – HIBGLAM

