‘Bukan tak laku, mungkin tiada nilai sinematik’

MENONTON lakonan Azhan Rani ibarat menyaksikan seorang pelakon membedah emosi manusia dengan pisau seni.

Apabila muncul sebagai penunggang agama, meluap kebencian penonton terhadap wataknya, namun ketika dia bertukar menjadi bapa sarat penderitaan, air mata mengalir laju tanpa perlu dipaksa.

Begitulah magis keupayaan Azhan menyarung watak berbeza dengan penghayatan meyakinkan sehingga laris menghiasi drama televisyen, malah lakonannya kerap mencetuskan perbualan peminat di media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pun begitu, di sebalik pujian dan deretan watak meninggalkan kesan di hati penonton, perjalanan Azhan dalam industri perfileman tanah air rupa-rupanya tidak semanis sambutan diterimanya menerusi drama televisyen. 

Selepas bertahun-tahun mengabdikan diri kepada dunia lakonan, pelakon berusia 50 tahun itu mengakui masih menanti peluang daripada pengarah filem ternama untuk memperlihatkan kemampuan lebih besar di layar perak.

Ironinya, ketika sesetengah pelakon berlumba-lumba mengejar watak utama dalam naskhah layar lebar, Azhan pula berdepan persoalan mengapa namanya masih belum menjadi pilihan pengarah filem berprofil tinggi, meskipun pengalaman dan kemahirannya sudah teruji menerusi pelbagai karakter.

Tiada nilai sinematik?

Bagaimanapun, pemenang Antagonis Pilihan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 itu tidak menyimpan dendam atau menuding jari kepada mana-mana pihak, malah menerima dengan hati terbuka, mungkin bakatnya belum memiliki nilai komersial sesuai untuk pertaruhan sesebuah filem.

“Saya pernah membantu pengarah muda menyiapkan projek akhir pengajian mereka. Ada antara mereka sampai menangis di hadapan saya kerana tidak mampu membayar upah, sedangkan penggambaran sudah melebihi tempoh ditetapkan.

“Saya cuma berpesan, suatu hari nanti saya mahu melihat mereka menjadi antara pengarah penting dalam negara. Saya tidak kisah dibayar sedikit. Saya cuma mahu mereka berjaya, menjadi pengarah hebat dan nama mereka disebut dalam industri. 

“Alhamdulillah, ada antara mereka kini sudah berada pada kedudukan penting, cuma malangnya selepas berjaya, mereka tidak pernah panggil saya berlakon,” katanya kepada HibGlam.

Sambung Azhan, dia tidak menganggap perkara itu sebagai satu pengkhianatan terhadap hubungan lama, apatah lagi sejak awal dia membantu atas dasar menyokong bakat baharu, bukan untuk mengikat mereka dengan sebarang janji.

“Kadang-kadang saya terserempak dengan mereka di majlis, kami bertegur sapa seperti biasa. Ada juga gurauan kononnya mereka patut ingat saya dan menawarkan watak, tetapi akhirnya tidak berlaku juga. Biasalah, itu sebahagian daripada urusan perniagaan.

“Saya tidak mengharapkan balasan dan tidak perlu menghebahkan kepada orang ramai tentang bantuan pernah saya berikan. Saya cuma bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka,” ujarnya.

AZHAN enggan seseorang menawarkan kerja kepadanya hanya kerana kasihan.

Tidak  selektif

Mengulas lanjut perihal kurang tawaran beraksi di layar lebar, bintang drama Bulan Henti Bicara itu menegaskan dirinya bukan anak seni yang cerewet. 

“Memilih? Bagaimana hendak memilih kalau orang tidak menawarkan watak kepada saya? Jadi, saya anggap mungkin belum ada tuah untuk saya membintangi filem. 

“Saya bukan jenis menagih mereka mengambil saya berlakon. Malah, dengan pengarah drama pun saya tidak pernah merayu supaya diberikan watak. Saya enggan seseorang menawarkan kerja kerana kasihan. 

“Mungkin wajah saya belum mempunyai nilai sinematik untuk dijual. Filem berbeza dengan drama kerana mempertaruhkan kos produksi dan perlu mendapatkan keuntungan, sedangkan drama biasanya sudah mempunyai pembeli daripada stesen televisyen,” jelasnya.

Paling penting kata Azhan, keadaan itu tidak membuatkannya berasa rendah diri kerana rezeki dalam bidang drama masih terbuka luas, malah dia bersyukur pendapatannya mencukupi untuk menampung kehidupan.

“Sejujurnya, saya tidak mempunyai masalah untuk menerima watak kecil. Satu atau dua babak pun tidak mengapa, asalkan saya mampu melaksanakannya dari segi masa dan kesihatan, selain watak itu bersesuaian dengan saya.

“Kalau kena dengan jiwa, saya buat. Kalau tidak sesuai, saya terima juga hakikatnya. Saya tidak kaya, tetapi Alhamdulillah, rezeki daripada drama masih mencukupi untuk saya meneruskan kehidupan. Itu pun sudah memadai,” ungkapnya.

Sensitiviti ada batasnya

Beralih topik pelbagai isu sensitif berkaitan naskhah tempatan kebelakangan ini, Azhan berkata, perkara tersebut wajar diberi perhatian kerana karya seni mempunyai pengaruh tersendiri terhadap penonton, khususnya golongan muda.

Baginya, watak ganas atau sarat dengan bahasa kesat mungkin pernah menjadi sebahagian daripada rezekinya, namun kini dia lebih berhati-hati terhadap kesan jangka panjang sesuatu lakonan.

“Dulu, orang suka melihat watak saya sebagai Tauke menerusi siri KL Gangster Underworld, cakap lepas dan menggunakan bahasa kesat tapi apabila semakin berusia, saya sendiri berasa malu apabila kanak-kanak mengajuk dialog watak itu di hadapan saya.

“Saya pernah shooting di sekolah tahfiz. Pelajar berjubah dan berserban memanggil saya dengan dialog kasar daripada watak Tauke. Ketika itu, saya terfikir bahawa mereka menonton dan menggemari watak tersebut, sedangkan saya tahu perlakuan itu tidak patut dicontohi.

“Ya, memang lakonan tetapi saya bertanggungjawab terhadap apa dipersembahkan kepada penonton. Sebab itu, pada usia sekarang, saya cuba mengurangkan watak terlalu ganas atau sering memukul isteri,” tuturnya.

Jelasnya lagi, pengalaman menghayati watak tertentu turut membuatkannya lebih terbuka berbincang dengan pengarah dan penerbit sekiranya terdapat babak dirasakan keterlaluan.

AZHAZN bersyukur rezekinya sebagai pelakon drama tidak pernah putus, malah bayaran yang diterima cukup untuk menampung kehidupan. 

Dalam perkembangan lain, Azhan bakal muncul dengan filem terbaharu berjudul Bisikan yang dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 19 November depan.

Naskhah arahan Opie Zami itu diangkat daripada kisah benar yang mengetengahkan elemen misteri dan suspen.

Bisikan membawa penonton menyelami penderitaan yang ditanggung pesakit mental khususnya skizofrenia, termasuk pengalaman berhalusinasi serta gangguan berupa bisikan misteri.

Selain Azhan, filem itu turut dibintangi Iman Zulkarnain, Vanidah Imran, Fatin Afeefa Rayyana Rayqa dan menampilkan kemunculan istimewa Altimet.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok