Mohon maaf atau bayar RM3 juta – Ruhainies

PELAKON Ruhainies nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa memfitnah dirinya dalam media sosial termasuk tuduhan menjalin hubungan sulit dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tidak lagi berdiam diri, Ruhainies mengambil langkah membersihkan namanya apabila membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada Ahad lalu bagi membolehkan siasatan rasmi dijalankan.

Peguam yang mewakilinya, Mohd Haizal Ayop dari firma guaman EzriLaw, memaklumkan laporan berkenaan dibuat susulan dakwaan yang disifatkan menjejaskan imej anak guamnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ruhainies sudah memberikan nama tiga individu terlibat kepada pihak polis dan kami jangkakan mereka akan dipanggil untuk tindakan lanjut.

Setakat ini kami sudah kenal pasti lebih kurang tiga orang dan masih ada lagi beberapa nama lain yang akan kami peroleh.

“Kemungkinan besar akan bertambah kerana isu ini turut melibatkan nama pihak lain,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Tambah Haizal, tindakan tegas tersebut diambil demi meletakkan noktah kepada budaya fitnah yang bukan sahaja menimpa Ruhainies malah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Pihak peguam akan menghantar Notis Tuntutan (LOD) kepada mereka yang terlibat dengan menetapkan empat tuntutan utama.

Antaranya mengakui tanggungjawab ke atas hantaran berkenaan, memadamkan muat naik tersebut, membuat aku janji untuk tidak lagi memuat naik sebarang perkara berkaitan Ruhainies serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat.

“Sekiranya surat tuntutan itu tidak dipatuhi dalam tempoh tujuh hari dan kami akan memfailkan saman sivil di mahkamah.

“Kami tuntut RM3 juta untuk setiap seorang bagi ganti rugi, di samping ganti rugi teladan dan perintah injunksi ,” tegasnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ruhainies, Fakhrul Azman dari firma guaman Azainie & Fakhrul menjelaskan bahawa pihak polis kini sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam.

Kami difahamkan dalam masa beberapa hari lagi pihak yang diadu akan dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, selain dua lagi individu yang baru dikenal pasti akan turut dimasukkan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai tohmahan yang tersebar, Fakhrul menyifatkan tuduhan mengaitkan Ruhainies dengan individu berpengaruh adalah berniat jahat dan tidak berasas.

Kenyataan yang dibuat dalam aplikasi Threads itu seolah-olah memberi anggapan negatif bahawa Anis ‘dibela’ atau ditaja individu berduit.

“Kehidupan Ruhainies adalah sebagai pelakon namun ada pihak sanggup menyebarkan fitnah yang memberi kesan mendalam terhadap mental, kerjaya serta keluarga dan ibu bapa beliau,” jelasnya.

Fakhrul turut mendedahkan bahawa hantaran fitnah yang tular dalam aplikasi Threads itu telah mencatatkan capaian melampau iaitu sebanyak 209 perkongsian semula, 1,400 perkongsian serta meraih lebih 2.7 juta tontonan sebelum tindakan diambil.

Ruhainies pula memberitahu dia sudah beberapa kali berdepan dakwaan seumpama itu sebelum ini dan pada awalnya cuba menjelaskan keadaan dengan membuat penafian menerusi media.

Bagaimanapun, Ruhainies mendakwa penjelasan berkenaan tidak dipandang serius oleh sesetengah pihak, sekali gus mendorongnya mengambil langkah undang-undang bagi mempertahankan nama baiknya.

“Beberapa hari lalu, saya menjadi mangsa fitnah. Namun, perkara ini sebenarnya bukan baharu kerana sebelum ini pun pernah berdepan situasi sama.

“Sebelum ini, saya cuba menafikan dakwaan berkenaan menerusi media. Bagaimanapun, apabila saya membuat penafian, ada pihak yang seolah-olah menganggapnya tidak serius dan berpendapat sesiapa sahaja boleh membuat penafian.

Jadi, sekarang saya merasakan sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menunjukkan keseriusannya dalam menangani perkara ini serta menegaskan bahawa dakwaan berkenaan hanyalah tuduhan dan fitnah,” ujarnya.

Sebelum ini, Ruhainies kerap menjadi sasaran kecaman netizen susulan beberapa kontroversi yang melibatkan dirinya termasuk ditangkap khalwat bersama pelakon Aliff Aziz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok