DI sebalik tohmahan dan khabar angin liar yang berlegar dalam laman sosial seperti menjalin hubungan sulit dengan individu kenamaan, pelakon Ruhainies nekad membawa pihak yang memfitnahnya ke muka pengadilan demi membersihkan maruah diri dan keluarga yang dipijak-pijak.
Pelakon berusia 34 tahun itu menegaskan kesabarannya selama tiga tahun kini sudah sampai ke kemuncak selepas tohmahan tidak berasas tersebut berlarutan sehingga menjejaskan kerjaya dan kesihatan mentalnya.
Pemilik nama penuh Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu berkata, tindakan undang-undang dilakukan apabila sikap berdiam dirinya selama ini disalah erti dan diambil kesempatan segelintir pihak.
Mestilah ada rasa sedih dan tertekan, terutamanya keluarga termasuk ibu bapa yang kerap bertanya kenapa selama ini berdiam diri dan membiarkan orang memijak saya.
“Saya jelaskan proses undang-undang ini panjang dan sekarang saya sudah bersedia untuk menghadapinya sehingga selesai,” katanya kepada HibGlam.
Menepis tohmahan kononnya hidup mewah ditaja individu kenamaan, adik kepada pelakon Nur Risteena itu menyifatkan tuduhan tersebut sangat mengarut memandangkan semua yang dimiliki hari ini hasil kerja keras berkecimpung dalam industri sejak lebih sedekad lalu.

RUHAINIES bersama barisan peguamnya menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada setiap individu yang terlibat jika tuntutan tidak dipatuhi.
Bukan tiada duit
Setakat ini, fitnah hanya berlegar dalam media sosial dan tidak melarat sehingga berdepan ugutan daripada mana-mana pihak.
“Ugutan alhamdulillah tiada setakat ini, cuma tohmahan dan fitnah.
Saya sendiri tidak tahu dari mana puncanya kerana tidak pernah ada bukti serta tak pernah berjumpa atau bergambar dengan pihak yang dikaitkan.
“Individu yang dikaitkan pula bukan orang biasa, seorang VIP, sedangkan saya bekerja keras dalam industri selama 11 tahun.
Tentulah mempunyai simpanan serta pelaburan sendiri, jadi tidak logik apabila timbul kontroversi, saya terus dianggap tiada duit sehingga perlu ditaja,” katanya yang menuntut permohonan maaf sebelum memfailkan saman terhadap tiga individu dalam tempoh terdekat.
Dalam masa sama, Ruhainies juga bertegas tidak akan berpatah balik. Dia bersedia menuntut keadilan bagi memberi pengajaran setimpal kepada pelaku.
Ujarnya, semua yang berlaku ketika ini sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu yang baginya seperti tidak ada penamat.
Saya akan lawan habis-habisan kali ini. Apabila sudah memulakan sesuatu, saya tidak akan buat separuh jalan.
“Sudah masuk tahun ketiga saya asyik berdepan perkara sama.
“Sebelum ini saya fikir lama-lama orang akan lupa dan saya maafkan sahaja tetapi apabila berlarutan dan saya cuma menafikan dalam media sosial, mereka menganggap saya tidak serius sehingga perkara begitu terus melarat,” jelasnya.
Menurutnya, tempias fitnah tersebut bukan sahaja membawa kerugian komersial bernilai jutaan ringgit, malah mengganggu ketenangan ibu bapanya.
Secara keseluruhan, kerugian yang saya perlu hadapi mencecah sekitar jutaan ringgit kerana banyak jenama dan kolaborasi dibatalkan atau ‘on hold’.
“Namun, perkara paling saya terkesan apabila melibatkan kesihatan mental.
“Setiap manusia ada had kesabaran, jadi saya rasa perlu memberikan pengajaran kepada orang yang melakukan perkara ini tanpa berfikir panjang,” ujarnya.
Dia bahkan nekad untuk segera meletakkan noktah terhadap kemelut tersebut demi memulihkan semula kehidupan peribadi dan kerjaya seninya yang terkesan akibat hal yang tidak benar.
Saya perlu menamatkan perkara ini supaya tidak terus berulang dan saya boleh meneruskan kehidupan dengan lebih tenang,” jelasnya lagi.
Tidak dipulau
Beralih kepada hubungan bersama penggiat seni lain, Ruhainies bersyukur kerana periuk nasinya tidak terjejas dan rakan seperjuangan sentiasa bersikap profesional di set penggambaran.
“Alhamdulillah, dalam kalangan industri seni tiada boikot dan semua orang bersikap profesional semasa bekerja.
Kehidupan saya berjalan macam biasa cuma lingkungan kawan saya memang kecil dan saya lebih banyak bersama keluarga.
“Bagi saya, ini cara terbaik untuk mengelak diri daripada terjebak dengan persekitaran toksik,” tuturnya.

BERDEPAN kerugian berjuta ringgit lantaran banyak kerjasama dengan jenama komersial dibatalkan, Ruhainies nekad mengambil tindakan undang-undang apabila fitnah yang semakin berleluasa kini menjejaskan kesihatan mentalnya
Bagi memastikan meosi sentiasa positif, dia memilih untuk mengabaikan sebarang provokasi liar dalam media sosial sebelum ini.
Sepanjang berada dalam industri seni, saya pilih untuk kekal profesional dengan semua rakan artis dan tidak pernah berdepan pengalaman buruk (diboikot).
“Saya tidak mengambil tahu perkara negatif demi menjaga kesihatan mental dan emosi sendiri,” katanya.
Dia memberitahu, sokongan keluarga menjadi benteng dan kekuatannya untuk berdepan dengan setiap kecaman masyarakat yang semakin hari semakin menakutkan sejak beberapa tahun lalu.
“Kekuatan datang daripada keluarga terutamanya ibu bapa. Saya menerima ujian ini dengan tenang kerana selalu percaya setiap manusia ada bahagian ujian masing-masing.
Teguran yang membina saya terima tetapi menolak untuk apa sahaja bentuk penghinaan.
“Apa pun saya bersyukur kerana masih ramai yang memberikan sokongan moral dan kata-kata positif,” jelasnya lagi.
Ruhainies juga melihat setiap ujian yang hadir sepanjang lebih tiga dekad usianya sebagai proses tarbiah yang membuka pintu rezeki dan mendatangkan insan-insan baik.
“Setiap dugaan ada hikmahnya dan sepanjang 34 tahun hidup, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan.
“Saya reda dengan ujian ini dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran hidup.
Tanpa sedar, selepas melalui pelbagai ujian hidup, banyak rezeki dan orang-orang baik yang datang dalam hidup saya,” kongsinya yang masih belum memiliki teman istimewa.
Projek baharu
Ruhainies juga menegaskan dirinya kini lebih matang dalam meneruskan kehidupan selain ingin terus mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.
Dia bahkan tetap bersyukur kerana masih menerima titipan doa dan sokongan moral tanpa henti daripada peminat.
“Saya tidak mahu mengenangkan perkara lalu dan mahu fokus pada masa depan serta memperbaiki diri.
Hikmah terbesar daripada semua ujian yang berlaku adalah saya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Saya mahu menjadi individu yang lebih matang dan sentiasa menghargai orang sekeliling,” katanya.
Berkongsi tentang kerjaya seni yang berjalan seperti biasa, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama slot Samarinda.
Saya baru habis penggambaran drama 20 episod untuk slot Samarinda TV3 bertajuk Wanita Yang Didusta arahan Jamal Khan, bergandingan bersama Zahiril Adzim, Reza Rosli dan Norreen Iman.
“Karya tersebut merupakan naskhah drama berat yang banyak bermain dengan emosi dan air mata, selain ada perancangan untuk projek filem yang kini dalam peringkat pra produksi,” ujarnya mengakhiri temu bual. – HIBGLAM

