Pak Ngah tiada galang ganti, siapa mampu sambung legasi?

KARYA ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Md Zain atau Pak Ngah akan terus berkumandang merentas generasi, namun persoalan lebih besar yang membelenggu industri muzik tanah air adalah siapa mampu menyambung perjuangan maestro yang mengangkat irama Malaysia ke tahap membanggakan.

Persoalan tersebutlah yang menjadi antara perkara penting yang dibincangkan menerusi Forum Apresiasi Tokoh: Adikarya Pak Ngah di Dewan Cendana, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), baru-baru ini.

Forum tersebut menghimpunkan penyanyi Noraniza Idris, pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS serta Dekan Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA, Mohd. Kamarulzaman Taib atau Che Kem, bagi mengupas pemikiran, keistimewaan dan sumbangan Allahyarham terhadap perkembangan muzik Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bentuk perjalanan seni

Perbincangan turut membuka ruang untuk menilai sejauh mana industri seni hari ini mampu meneruskan legasi Pak Ngah, bukan sekadar dengan menyanyikan semula lagu-lagu popularnya, tetapi memahami ilmu dan falsafah yang menjadi tunjang penciptaan karya berkenaan.

FORUM Apresiasi Tokoh: Adikarya Pak Ngah yang disertai Ramli MS, Noraniza Idris dan Che Kem mengupas persoalan siapa penyambung legasi Pak Ngah. – FARIZ RUSADIO

Bagi Noraniza, yang cukup sinonim dengan genre irama Malaysia ciptaan Pak Ngah, Allahyarham merupakan penggubah lagu hebat, sekali gus insan yang banyak membentuk perjalanan seninya.

Hubungan mereka dibina melalui proses kreatif yang panjang, termasuk perbincangan tentang melodi, penjiwaan persembahan dan ketelitian dalam memastikan setiap karya disampaikan mengikut kehendak penciptanya.

Noraniza turut berkongsi kisah sebuah lagu ciptaan Pak Ngah yang diharapkan dapat melengkapkan kerjasama mereka, namun tidak sempat disempurnakan seperti dirancang.

Bila dah sekian lama kita tak dapat sentuhan Pak Ngah, saya minta suami berjumpa Pak Ngah semula kerana mahu mendapatkan satu karya daripada beliau,” katanya ketika berkongsi kenangan mengenai Allahyarham.

Menurutnya, lagu berkenaan sudah dirakam secara asas sebelum proses memasukkan elemen muzik lain diteruskan, malah berpuas hati dengan hasil rakaman itu dan tidak sabar untuk kembali ke studio bagi menyempurnakannya.

Bagaimanapun, kesibukan kerja menyebabkan mereka tidak sempat berbincang lebih lanjut hingga akhirnya, karya tersebut diberikan kepada penyanyi lain, sekali gus meninggalkan rasa terkilan dalam hatinya.

Lagu itu dah siap. Saya pun rakam secara ‘raw’ sebelum dimasukkan bunyi lain. Hasilnya bagus dan saya bangga. Saya juga tidak sabar untuk masuk studio semula, tetapi disebabkan kekangan kerja, kami tidak sempat berbincang lebih lanjut,” katanya.

Kecewa namun Noraniza tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya menerima hakikat itu dengan hati terbuka dengan mengakui kemungkinan komposer terbabit sudah lama menunggu perkembangan daripadanya.

Kisah tersebut memperlihatkan sisi hubungan profesional mereka yang tidak hanya bergantung pada bakat, tetapi turut menuntut komunikasi, komitmen dan kepekaan terhadap perasaan masing-masing.

Bagi Noraniza, Pak Ngah mempunyai cara tersendiri ketika menyatakan rasa tidak puas hati apabila sikapnya memilih untuk berdiam diri kadangkala lebih sukar dihadapi berbanding kemarahan secara terbuka.

Bagi saya, kalau Pak Ngah marah, biarlah dia marah berbakul-bakul. Jangan dia diam kerana kalau diam, memang boleh meresap ke kalbu sampai kita sendiri tidak tahu hendak buat apa,” ujarnya.

RAMLI MS berasakan kemunculan komposer generasi yang memodenkan irama Melayu harus berdiri dengan identiti tersendiri, bukan meniru lenggok karya sedia ada.


Identiti lagu

Penyanyi tersebut mengakui teguran Allahyarham bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana setiap komen mempunyai maksud tersendiri, terutama apabila melibatkan hasil kerja seni yang diharapkan mencapai standard tertentu.

Orang seni ini ada cara tersendiri meluahkan perasaan. Kalau Pak Ngah cakap dia tidak suka, maknanya kita kena buat sampai dia suka,” katanya, menggambarkan ketegasan Allahyarham dalam memastikan sesuatu karya menepati kehendaknya.

Dari sudut akademik pula, Che Kem melihat keistimewaan insan serba boleh dalam seni itu berakar daripada penguasaan mendalam terhadap muzik tradisional Melayu, bukannya sekadar kebolehan menyusun melodi atau menghasilkan naskhah yang mudah diterima pendengar.

Menurut Che Kem, pengalaman Allahyarham ketika menimba ilmu di Kompleks Budaya Negara membentuk asas penting dalam pemikirannya, khususnya dalam memahami hubungan antara muzik, tarian dan teater.

Pak Ngah tidak hanya mengambil bunyi itu tetapi menguasai prinsip, seni secara keseluruhan,” katanya ketika menjelaskan bagaimana Allahyarham mendalami struktur muzik tradisional sebelum mengolahnya menjadi karya yang mempunyai identiti tersendiri.

Beliau turut menjelaskan penguasaan Pak Ngah terhadap repertoir muzik gamelan dan wayang kulit membezakan Allahyarham daripada komposer lain, bahkan pengetahuannya membolehkan setiap unsur muzik digunakan berdasarkan fungsi dan kesesuaian, bukan sekadar hiasan dalam lagu.

Misalnya, lihatlah zaman Awallah Dondang sehingga lagu Hati Kama dan Nazam Berkasih, semuanya berjaya tembusi Anugerah Juara Lagu (AJL). Itu adalah tempoh lagu-lagu popular Pak Ngah dan era irama Malaysia.

Jangan anggap muzik sekadar nyanyi-nyanyi. Muzik sebenarnya membentuk budaya. Budaya mencorakkan cara kita berpakaian, acara dan bisnes,” ujarnya.

Keupayaan tersebut membuktikan bahawa pemodenan muzik tradisional tidak semestinya mengorbankan akar budaya. Sebaliknya, pemahaman mendalam terhadap tradisi membolehkan seseorang komposer menghasilkan karya baharu yang tetap mempunyai jati diri Melayu.

Kita mahu masyarakat bukan sahaja mengenali lagu-lagu ciptaannya, tetapi turut menghayati pemikiran dan sumbangan beliau kepada perkembangan Irama Malaysia,” ulasnya.

Sementara itu, Ramli MS pula melihat perjalanan seni Pak Ngah sebagai bukti bahawa seseorang komposer perlu memiliki identiti tersendiri jika mahu menghasilkan karya yang mampu bertahan lama.

Bagi maestro muzik itu, generasi baharu tidak seharusnya menjadikan kejayaan Allahyarham sebagai alasan untuk meniru bulat-bulat pendekatan muziknya.

Jangan lupa budaya

Katanya, mereka perlu mempelajari asas penciptaan dan membangunkan kekuatan sendiri dalam membentuk identiti karya yang dicipta.

“Kalau nak jadi macam dia, anda kena atasi kehebatannya, cuma jadi diri sendiri.

“Cuma saya tidak kata kita kena buat seperti Pak Ngah, dengan kebijaksanaan kita boleh buat apa sahaja tetapi budaya itu jangan hilang. Tiada siapa boleh bunuh budaya Melayu di dunia ini, baik Cina atau India.

Modenkan, memang diperlukan. Jangan lupakan budaya dari mana kita datang. Bayangkan, lagi 50 tahun, lagu Melayu akan berbunyi macam mana kalau kita hilang bunyian ini? Budaya Melayu Pak Ngah ini sangat kuat. Beliau 100 peratus Melayu,” katanya.

Pandangan tersebut juga membawa mesej penting kepada komposer muda bahawa legasi Pak Ngah tidak seharusnya diteruskan melalui peniruan, sebaliknya dengan memahami disiplin, pengetahuan muzik dan keberanian melakukan pembaharuan tanpa mengorbankan jati diri budaya.

Forum yang mengetengahkan Editor Astro AWANI, Saharudin Musthafa sebagai moderator tersebut turut mengingatkan usaha menghargai tokoh seni perlu melangkaui penganjuran acara penghormatan.

Pendidikan, dokumentasi dan pendedahan kepada generasi muda perlu menjadi sebahagian daripada usaha memelihara warisan muzik tradisional.

DATUK Seri Siti Nurhaliza menjadi antara penyanyi yang bersama-sama dengan Pak Ngah menjulang irama Melayu tradisional.

Antara karya yang menyerlahkan pendekatan Pak Ngah termasuklah Cindai untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 1997, yang menjadi album tradisional penuh pertama penyanyi berkenaan.

Menerusi lagu Kurik Kundi, Siti dituntut menyanyi dalam tujuh loghat negeri, manakala Noraniza pula dikenali menerusi karya seperti Awallah Dondang dan Dikir Puteri.

Generasi seterusnya yang mendapat karya gubahan Pak Ngah adalah Ziana Zain menerusi lagu Bagai Gahara, selain Wany Hasrita, Zehra Zambri, Syarfiq Farhain serta Baby Shima.

Allahyarham Pak Ngah meninggal dunia di Batam, Indonesia pada 25 September 2018 akibat serangan jantung, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-60.

Menghidupkan lagu-lagu Pak Ngah adalah satu penghormatan, tetapi memahami pemikirannya dan meneruskan keberaniannya mencipta sesuatu beridentiti adalah legasi sebenar yang perlu dipertahankan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok