KECOH isu makanan basi yang disediakan pihak produksi di set penggambaran, pelakon Farah Ahmad menegaskan bahawa aspek kebersihan dan kebajikan tenaga kerja tidak boleh dipandang enteng kerana boleh menjejaskan kesihatan.
Menurut Farah atau nama sebenarnya Nurfarahaizah Ahmad Zaharuddin, 49, penyediaan makanan bukan perkara remeh kerana melibatkan keselamatan pelakon dan kru bahkan berpotensi menjejaskan kelancaran penggambaran sekiranya berlaku sebarang masalah.
“Tanggungjawab memilih katering atau menentukan makanan disediakan terletak pada pihak produksi. Apa-apa pun, sistem kerja mesti ada supaya semua perkara dapat diuruskan dengan baik.
Makanan perlu disusun dengan teratur dan ditutup, manakala tahap kebersihannya mesti diperiksa, termasuk memastikan tiada lalat menghinggapi hidangan. Perkara ini berbahaya jika diabaikan kerana melibatkan kebersihan serta keselamatan makanan.
“Setiap permasalahan ketika penggambaran atau perkara tidak sepatutnya berlaku perlu mempunyai saluran aduan. Saya faham mengapa ada pihak memilih untuk berdiam diri kerana apabila seseorang menegur, dia mungkin dilabel sebagai pembawa masalah dan tidak lagi menerima tawaran kerja. Itu antara sisi gelap industri seni yang perlu diberikan perhatian,” katanya kepada HibGlam.
Tambah bintang filem Roh itu, pemantauan di lokasi penggambaran perlu dipertingkatkan bagi memastikan kebajikan pelakon dan kru sentiasa terpelihara, terutama ketika mereka terpaksa bekerja dalam tempoh panjang.
Perkara seperti ini perlu dipantau. Jika boleh, setiap set penggambaran perlu mempunyai mekanisme pemantauan bersesuaian kerana ada banyak isu sepatutnya diberikan perhatian.
“Pemantauan itu tidak perlu dilakukan secara keterlaluan, tetapi biarlah secara berhemah supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani sebelum keadaan menjadi lebih serius,” ujarnya.
Paling penting katanya, pihak produksi tidak sepatutnya bertindak menyalahkan atau mengecam individu yang tampil membuat aduan, sebaliknya menerima teguran sebagai ruang untuk memperbaiki kelemahan pengurusan.
“Jika pihak produksi menerima aduan, janganlah pula mengecam individu yang menyuarakan masalah. Pada saya, teguran dibuat kerana kita mahu keadaan menjadi lebih baik untuk semua pihak.
“Jika seseorang mengalami sakit perut atau keracunan makanan, pihak produksi juga akan menanggung kesannya kerana penggambaran mungkin terganggu.
Kita faham keadaan ekonomi sekarang dan pihak produksi juga mempunyai kekangan masing-masing. Namun, makanan tidak sepatutnya menjadi isu sehingga kebajikan pekerja terabai. Makanan ialah keperluan asas. Jika perkara asas seperti ini pun terlalu berkira, akhirnya semua pihak akan menanggung kesannya,” jelasnya.
Terdahulu, isu penyediaan makanan di set penggambaran menjadi perhatian selepas seorang pengurus artis mendakwa artis di bawah jagaannya termakan makanan basi disediakan pihak produksi.
Insiden itu mencetuskan perbincangan mengenai tanggungjawab produksi dalam memastikan makanan disediakan berada dalam keadaan bersih dan selamat, selain kepentingan menjaga kebajikan semua tenaga kerja sepanjang penggambaran. – HIBGLAM

