‘Demand? Saya menuntut skrip berkualiti, karya bagus’

DIDAKWA cerewet atau sering disebut ‘demanding’ setiap kali ditawarkan sebarang projek lakonan, aktres berkaliber Datin Sofia Jane menyifatkan skeptikal tersebut sebagai isu lapuk yang sudah berulang kali dihadapinya sejak 30 tahun lalu.

Menurut Sofia, 54, ‘demand’ dalam definisi peribadinya bukanlah soal meletakkan harga bayaran, sebaliknya menuntut naskhah dan penulisan skrip yang bermutu tinggi.

“Bagi saya, perkataan ‘demand’ itu sudah terlalu lapuk. Sejak usia saya 20 tahun lagi saya asyik diajukan soalan yang sama. Saya kurang jelas apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘demand’?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai penonton, pelakon dan orang dalam industri, kita harus menuntut penulisan bermutu

“Itu adalah ‘demand’ sebenar pada sudut pandang saya sebagai seorang pelakon iaitu mahukan penulisan baik, teks yang bermutu dan karya yang bagus kerana saya mahu menjadi sebahagian daripadanya,” katanya pada sesi temu bual ekslusif pementasan teater solo pertamanya Thrown, pagi tadi.sebagai pelakon harus menuntut penulisan yang bagus

Menjawab dakwaan sering dilabel cerewet, bintang filem Malam Terlarang itu berpendapat perkara itu adalah isu berbeza yang sepatutnya sudah lama diselesaikan industri.

“Soal bayaran itu hal lain. Sepatutnya industri sudah lama ada kadar asas bayaran, sama seperti profesion lain seperti arkitek, doktor atau penulis. Kita patut perjuangkan perkara itu,” katanya lagi.

Ujarnya, seorang pelakon sememangnya harus menuntut skrip yang baik bagi memastikan kerjaya seni bertahan lama.

“Pelakon yang bagus akan menuntut skrip yang bagus. Kualiti karya itulah yang akan menentukan berapa lama kita mampu bertahan dalam industri.

“Kalau kita kerap buat benda yang tak berkualiti, sampai situlah sahaja tahap kita,” ujarnya.

Bintang Perempuan, Isteri dan …, itu bagaimanapun memahami dilema pelakon baharu yang adakalanya terpaksa menerima apa sahaja tawaran lakonan memandangkan tiada pilihan watak pada awal kemunculan dalam industri.

“Adakalanya ketika masih baru, memang kita tiada pilihan dan perlu ambil apa yang ada untuk cari makan. Tetapi dengan apa yang ada, buatlah sesuatu yang berbeza dan belum pernah dibuat orang lain.

“Dari situ penerbit, pengarah atau penulis akan nampak keunikan diri kita. Kalau kita buat kerja secara sembrono sahaja, orang akan fikir kita tidak serius dengan karier lakonan,” ujarnya.

Sementara itu, Sofia bakal mementaskan solo pertamanya Thrown di The Studio, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) pada 20 hingga 22 November dan 27 hingga 29 November depan.

Karya Jodi Gray dan arahan Gavin Yap, itu mengisahkan seorang ahli psikologi kanak kanak yang menelusuri rakaman audio lama zaman kecilnya dan pesakitnya untuk memahami zaman kanak kanaknya sendiri.

Namun, semakin kerap rakaman itu didengar dan diulang, semakin kabur batas antara kenangannya dengan kenangan pesakitnya, hingga sukar dipastikan milik siapa sebenarnya memori itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok