Momen manis ‘jiwa-jiwa galau’ Nastia Project

SORAKAN penonton, nyanyian beramai-ramai dan kemunculan dua penyanyi jemputan mewarnai Konsert Nastia Project: Soul Journey yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi persembahan selama dua jam, duo Nastia yang dianggotai Leo Azman dan Rudy menyampaikan 21 dendangan, sekali gus membawa penonton menyusuri sedekad kembara muzik mereka yang sarat dengan kisah dan kenangan.

Seawal persembahan, penonton memberikan perhatian kepada kemunculan duo berkenaan yang tampil menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu pilihan daripada repertoir mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

ANTARA lagu yang menyegarkan malam termasuk Jiwa-Jiwa Yang Ku Sanjung, Untuk Kamu dan Xpressi, Cinta Sempurna, Puteri serta Esok Belum Tiba yang terus menggandakan momentum persembahan.

Melodi segar

Lagu demi lagu dipersembahkan dengan sokongan peminat yang tidak lokek memberikan tepukan, terutama apabila melodi yang mesra di telinga berkumandang di gelanggang konsert.

Antara lagu yang menyegarkan malam termasuk Jiwa-Jiwa Yang Ku Sanjung, Untuk Kamu dan Xpressi, Cinta Sempurna, Puteri serta Esok Belum Tiba yang terus menggandakan momentum persembahan.

Bukan hanya peminat yang membesar dengan lagu mereka, di celah 1,600 penonton kelihatan penggemar dalam kalangan remaja belasan tahun yang turut menghafal bait lagu kumpulan terbabit.

Kesemuanya bukan sekadar menjadi pemerhati, malah turut berdendang bersama menjadikan beberapa bahagian persembahan terasa seperti nyanyian beramai-ramai.

Momen manis itu semakin terasa ketika Nastia menyampaikan seleksi galau iaitu Rapuh apabila suara penonton bergabung dengan nyanyian Leo Azman.

Interaksi antara vokalis dengan khalayak juga menghidupkan lagi nuansa persembahan, menjadikan konsert itu sebagai medan penyatuan kedua-dua mereka.

Lebih menggamit rasa apabila penyanyi berkenaan turut berkongsi pentas dengan artis jemputan yang mempunyai latar muzik tersendiri, sekali gus memberikan variasi kepada persembahan malam itu.

Antara momen mencuri perhatian adalah kemunculan bekas vokalis kumpulan Estrella, Liyana Fizi yang diundang untuk berduet bersama Nastia.

Kehadiran Liyana memberikan warna berbeza kepada konsert apabila beliau bergandingan dengan duo itu menerusi lagu Esok Belum Tiba.

Gabungan vokal mereka disambut baik penonton sebelum Liyana meneruskan aksi menerusi lagu Stay, satu lagi persembahan yang menampilkan sisi muziknya bersama Nastia.

Sebelum mengundang Liyana, Leo sempat mengimbau pengaruh muzik indie yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni mereka.

“Dipersilakan Liyana menyanyikan lagu yang pernah menjadi kegilaan anak indie suatu masa dahulu,” katanya disambut sorakan hadirin.

Kemunculan Fynn Jamal serta Liyana Fizi mengimbas memori lampau yang hangat dengan seleksi lagu menyentuh hati.

Untuk Palestin

Selepas segmen bersama Liyana, pentas beralih kepada seorang lagu penyanyi Fynn Jamal yang membawa pendekatan berbeza menerusi gabungan puisi dan muzik.

Fynn terlebih dahulu mendeklamasikan sajak daripada karya Pastel, memberikan ruang kepada penonton untuk menghayati bait-bait kata sebelum persembahan diteruskan.

Kehadiran Fynn juga memberikan variasi kepada susunan konsert yang sebelum itu banyak bergerak menerusi persembahan lagu, sekali gus memperlihatkan sisi penceritaan konsert berkenaan.

Selain persembahan muzik, konsert itu turut menyelitkan tribute buat Palestin sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara berkenaan.

Segmen tersebut membawa perhatian penonton kepada mesej kemanusiaan di sebalik sebuah acara yang menghimpunkan peminat muzik dalam satu ruang.

Secara keseluruhan, sebanyak 21 lagu dipersembahkan sepanjang konsert, dengan gabungan karya Nastia serta kolaborasi bersama Liyana dan Fynn menjadi antara pengisian utama malam tersebut.

Sempat menzahirkan perasaan, Leo menyifatkan Soul Journey sebagai satu perayaan karya yang dikongsi bersama peminat.

“Konsert ini merupakan sebuah perayaan karya bersama-sama anda yang menjadi tonggak kekuatan kami untuk terus berada di sini.

“Terima kasih kerana tegar bersama Nastia. Anda semua juga sumber ilham kami,” katanya sebelum mengundur diri.

Konsert Nastia Project: Soul Journey dianjurkan Smart AV Sdn. Bhd., diwakili Coolman Khoo, bersama Nikko Concept Sdn. Bhd. yang diwakili Afric Khaw.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok