PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menggesa pembikin filem tempatan memberi keutamaan kepada usaha menembusi pasaran ASEAN sebelum menyasarkan pengiktirafan lebih besar di peringkat antarabangsa menerusi Anugerah Akademi atau Oscars.
Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, kejayaan mengukuhkan kedudukan filem Malaysia di rantau ini mampu membuka laluan lebih luas ke pentas dunia, selain memperkenalkan keunikan budaya serta kepelbagaian masyarakat negara kepada penonton antarabangsa.
Hans berkata, lebih 70 buah filem dan dokumentari menyertai Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) sekali gus memperlihatkan potensi penggiat seni tempatan menghasilkan karya yang mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Katanya, FINAS juga menyasarkan sekurang-kurangnya dua hingga empat karya tempatan mampu berkembang menjadi harta intelek (IP) antarabangsa, selari dengan usaha memperluas capaian industri filem negara.
“Dahulu, ketika saya dan Afdlin Shauki berlakon, kita sasarkan kutipan sejuta atau RM2 juta. Kadang-kadang kami tidak boleh tidur malam memikirkan sama ada dapat mengutip semula modal yang dikeluarkan.
“Sekarang, saya nak berterima kasih kerana FINAS dan semua yang terlibat yang sentiasa memberi kerjasama baik bagi memastikan industri seni tempatan lebih maju, matang serta profesional,” katanya.
Sasar pasaran ASEAN
Tambahnya, FINAS akan terus memberi sokongan kepada pembikin filem tempatan untuk memasarkan karya mereka ke peringkat lebih tinggi.
Namun dalam masa sama, dia berharap penerbit dan pengarah memberi tumpuan lebih besar untuk ‘menerbangkan’ karya ke rantau ASEAN sebelum meletakkan sasaran lebih jauh seperti Anugerah Akademi atau Oscars.
“Saya harap filem-filem yang kita perjuangkan dengan bantuan kerajaan dan pasukan FINAS ini dapat menembusi pasaran ASEAN. Kita harus fokus di situ dahulu.
“Kita sudah banyak berbincang tentang Oscars tetapi saya memohon kepada penerbit dan pengarah filem supaya kita cuba menyasarkan ASEAN terlebih dahulu.
“Kalau kita berjaya di ASEAN, saya rasa Oscars akan memanggil kita,” jelasnya.
Dia bahkan turut menyeru penggiat filem agar menghasilkan lebih banyak karya yang mengangkat keunikan budaya dan kepelbagaian masyarakat Malaysia sekali gus mampu memperkenal identiti negara kepada dunia.
“Mari kita hasilkan filem yang membanggakan kita dengan mengangkat budaya sendiri, menyatukan masyarakat dan menarik rakyat ke pawagam.
“Apabila kita ke pawagam, kita mahu melihat masyarakat Melayu, Cina dan India bersama-sama menonton filem Malaysia kerana kita merupakan sebuah negara berbilang kaum.
“Budaya kita mempunyai begitu banyak keistimewaan untuk dipersembahkan kepada dunia,” jelasnya.
FFM35
Dalam perkembangan lain, Hans memberitahu penganjuran FFM ke-35 tahun ini membawa kelainan apabila pemenang terdahulu diberi mandat memilih penerima trofi bagi 10 kategori utama, berbeza daripada kaedah penilaian juri seperti sebelum ini.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memberikan ruang kepada penggiat industri sendiri untuk menentukan karya dan individu yang layak menerima pengiktirafan berdasarkan pengalaman serta pengetahuan mereka dalam bidang perfileman.
“Ini kelainan FFM35, orang industri akan memilih yang terbaik. Ini satu perbezaan berbanding dahulu apabila juri membuat pemilihan daripada pusingan pertama, kedua sehinggalah ke peringkat akhir.
“Kali ini, kita mahu memberikan kuasa kepada pemain industri untuk menentukan pemenang-pemenangnya,” jelasnya.
Dia juga sempat mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik atau Top 5, selain memberikan kata-kata semangat kepada mereka yang tidak terpilih.
“Tahniah kepada mereka yang tercalon dalam Top 5 dan juga yang tidak berada dalam senarai itu. Bagi saya, menang atau kalah adalah bergantung kepada juri atau karya yang dipertandingkan.
“Tetapi pada pandangan saya, apabila kita turun padang dalam industri kreatif ini, kita sebenarnya sudah menjadi pemenang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Hans berkata, FINAS turut meneruskan pemberian Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta kepada pemenang kategori Filem Terbaik sebagai sokongan terhadap penghasilan karya berkualiti.
“Kita juga meneruskan pemberian dana berjumlah RM1 juta kepada filem yang berkualiti. Jika sesebuah filem itu bagus, mengapa FINAS atau Kementerian Komunikasi tidak mahu membantu karya berkenaan? Kita perlu meneruskan usaha mereka.
“Bagi filem lain, pengarah dan penerbit boleh memohon dana lain yang disediakan FINAS dan kementerian. Kita akan cuba membantu,” jelasnya.
Pencalonan
Bagi edisi kali ini, pemenang 28 kategori akan menerima wang tunai RM5,000 beserta trofi, manakala penerima Anugerah Khas Karyawan dan Anugerah Khas Sepanjang Zaman masing-masing bakal membawa pulang RM10,000 serta trofi.
FFM 25 menyaksikan dua filem seram, Khadam dan Malam Terlarang, mendominasi pencalonan apabila masing-masing bersaing dalam 12 kategori, sekali gus mencetuskan persaingan sengit merebut trofi pada malam kemuncak anugerah berprestij itu.
Malam Terlarang, terbitan Astro Shaw dan Infinitus Productions, tercalon dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik menerusi Allahyarham Nurhanisham Muhammad atau Labu, Pelakon Wanita Terbaik (Shasha Abedul), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Datin Sofia Jane) dan Pelakon Wanita Harapan (Aila Azizul).
Filem itu turut bersaing dalam kategori Penyunting Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Poster Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.
Khadam turut mendapat tempat dalam kategori utama, termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik menerusi Shamyl Othman, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Zarra Zhaf) dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.
Karya terbitan Redfilms dan Komet Productions bersama beberapa syarikat produksi lain itu turut tercalon dalam kategori Poster Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik/Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. Naskhah aksi arahan Razaisyam Rashid, Tarung: Unforgiven, turut memberi saingan apabila meraih 10 pencalonan dalam edisi kali ini.
Sengit
Persaingan turut menjadi tumpuan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang menyaksikan lima pelakon berentap, iaitu Shaheizy Sam menerusi Badak, Idan Aedan (Abah Saya Uncle Mike), Datuk Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).
Bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, persaingan membabitkan pelakon baharu dan berpengalaman, iaitu Shasha Abedul menerusi Malam Terlarang, Aida Amron (Badak), Fish Liew (Payane For An Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Polong).
FFM35 akan berlangsung di Istana Budaya pada 21 November nanti dan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Untuk edisi ke-35, Datuk Afdlin Shauki sekali lagi diberi kepercayaan mengendalikan acara berprestij itu sebagai hos utama, bergandingan dengan Amelia Henderson.

