‘Saya tak layak, dulu di AF ramai tak boleh terima’

AKTRES handalan juga pengarah veteran, Fauziah Ahmad Daud seolah-olah memberi amaran agar namanya tidak dipetik sebagai antara juri program Gegar Vaganza Fantasia (GVF) selepas wujud cadangan segelintir netizen mencadangkan dirinya untuk kembali mengadili bekas peserta Akademi Fantasia (AF) yang bertanding kali ini.

Berkeras dengan pendiriannya, Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy, 63, awal-awal lagi berkata ‘tidak’ jika dijemput menjadi juri GV kerana berasakan tidak layak untuk memikul tanggungjawab tersebut selain enggan mengundang kecaman ramai seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Tidak perlulah petik nama saya, saya tak layak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu di AF pun ramai yang tak boleh menerima kritikan dan pandangan saya. Terima kasih masih ingat saya,” katanya membalas sebuah hantaran dalam platform Threads.

Dalam pada itu, Ogy turut menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa dirinya seolah-olah ‘mengamuk’ ketika setiap kali beraksi sebagai juri, sekali gus menegaskan situasi tersebut adalah sebuah kritikan jujur terhadap persembahan peserta.

“Itu bukan mengamuk. Salah istilah yang digunakan.

Itu memberi kritikan jujur dan orang kita tidak suka pada yang berkata jujur.

“Kenapa sekarang baru faham (cara kritikan) dan ketika itu tidak boleh faham?” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Ogy turut menyelar tindakan segelintir netizen yang seolah-olah cuba menentukan keputusan bagi pihaknya sekiranya diminta menjurikan GVF.

“Kenapa anda yang nak menentukan keputusan untuk saya?

Saya tak pernah melantik anda atau sesiapa sebagai manager saya kan?” bidasnya kepada seorang lagi individu.

Sebelum ini, Ogy pernah duduk di kerusi juri AF beberapa musim dan antara komen yang diingati ramai ialah ‘menggali’ karakter serta lagu disampaikan.

Semalam, seramai sembilan peserta GVF diumumkan yang terdiri daripada juara AF iaitu Vince, Mawi, Zahid, Mila Jirin, Stacy, Faizal, Shahir, Faizul dan Firman.

GVF yang mula bersiaran pada 8 November depan akan dijurikan Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok