Saya mohon maaf, harap hubungan baik kita terpelihara – Lesti Kejora

MELERAIKAN salah faham, penyanyi Indonesia, Lesti Kejora tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan anaknya didakwa ditegur kasar pengawal peribadi dipercayai daripada pasukan pelakon Izara Aishah ketika Konsert Gema Bumantara, baru-baru ini.

Lesti yang menjadi penyanyi undangan konsert itu berkata, dia tidak berada di lokasi kejadian namun dimaklumkan seorang petugas keselamatan melarang anaknya daripada menyentuh Izara dengan nada agak keras ketika ahli keluarganya mahu menghampiri Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk bergambar.

“Sejauh yang saya fahami dan dengar, kejadian dimaksudkan bukan melibatkan pasukan saya, sebaliknya salah seorang kerabat (keluarga) yang saya jemput untuk hadir dan memberikan sokongan ketika saya mendapat peluang menjadi penyanyi jemputan pada konsert tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika itu, anak saya didukung ahli keluarga saya ketika hendak bergambar bersama Datuk Siti tetapi ketika mereka menghampiri beliau, seorang petugas keselamatan melarang anak saya daripada menyentuh kakak (panggilan Izara) dengan nada agak keras.

“Mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan mengenai perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Isteri kepada pelakon, Rizky Billar itu mengakui pihaknya bukan mahu bersikap biadab malah insiden terbabit juga mengejutkan ahli keluarganya, sekali gus dia memohon maaf atas perkara yang sudah berlaku.

Ahli keluarga saya terkejut dengan kata-kata berkenaan. Secara peribadi, saya ingin memohon maaf sekiranya kejadian itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada mana-mana pihak,” ujarnya.

Malah Lesti juga berterima kasih kepada Izara atas keikhlasan dan kebaikan aktres terbabit yang memberikan perhatian kepada anaknya sepanjang konsert berlangsung.

Menerusi hantaran sama, ibu kepada seorang anak itu tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan serta rasa terhormat apabila diberi peluang menjadi sebahagian daripada konsert penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang sejak sekian lama menjadi idolanya.

Mengimbas kembali perjalanan seninya bersama Siti, Lesti mengakui pernah menjadi juri, menonton konsert penyanyi itu bersama bapanya selain berpeluang berkolaborasi menerusi lagu serta video muzik Kumbang Bunga.

Lesti turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Siti atas peluang dan kepercayaan yang diberikan, selain menyifatkan pengalaman tersebut sebagai kenangan bermakna dalam kerjaya seninya.

Terdahulu, insiden yang berlaku Sabtu lalu berkenaan menjadi perhatian selepas Izara dilaporkan menegur sikap pasukan Lesti yang didakwa kurang mesra ketika konsert berlangsung.

Tambahnya dia menerima kejadian yang berlaku dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri pada masa hadapan.

Lesti turut berharap hubungan baik dengan Izara, Siti, keluarga serta seluruh pasukan masing-masing terus terpelihara.

“Saya menerima perkara ini dengan hati terbuka sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki diri dan menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.

Saya berharap hubungan baik dan silaturahim dengan kak Izara, Datuk Siti, keluarga serta seluruh pasukan sentiasa terpelihara. Semoga kita semua dapat terus saling menyokong, menghormati dan berkongsi kebahagiaan menerusi muzik.

“Sekali lagi, terima kasih dan saya memohon maaf. Semoga Allah sentiasa memelihara hubungan baik antara kita semua,” katanya.

Terdahulu, isu yang kini menjadi perdebatan netizen Malaysia dan Indonesia tercetus selepas Izara menerusi hantaran di Threads menegur pasukan Lesti yang didakwa bersikap kurang mesra dan memilih individu untuk bertegur sapa.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok