Foto dua suspek Kes tembakan Tiger Shroff tersebar

FOTO dua lelaki yang dipercayai suspek insiden tembakan membabitkan pelakon Bollywood, Tiger Shroff, mula tersebar dalam laporan media India, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai identiti mereka.

Menurut laporan India Today, kedua-dua lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tembakan ke arah kenderaan milik pelakon filem Baaghi berkenaan di kawasan Juhu, Mumbai, pada Ahad lalu.

Salah seorang lelaki dalam gambar tersebut dilihat memakai topi hitam dan kedua-duanya mengenakan kemeja putih.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, identiti sebenar mereka masih belum disahkan secara rasmi dan pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan pergerakan serta mengenal pasti individu terbabit.

Insiden mengejutkan itu dilaporkan berlaku ketika Tiger berada di dalam keretanya selepas selesai bermain bola sepak pada Ahad lalu.

Dua lelaki dipercayai melepaskan lima das tembakan ke arah kenderaan dinaiki aktor berusia 36 tahun itu sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.

Tiger bagaimanapun terselamat dan mengalami cedera ringan akibat serpihan kaca manakala pemandunya dilaporkan cedera akibat terkena tembakan.

Pihak polis turut menemui motosikal yang dipercayai digunakan suspek berhampiran stesen kereta api Andheri ketika siasatan diteruskan.

Pihak berkuasa sedang meneliti rakaman CCTV dan mengesan laluan yang digunakan lelaki terbabit selepas kejadian.

Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan Tiger dan keluarganya, apatah lagi apabila terdapat dakwaan pihak tertentu mengaitkan serangan tersebut dengan kumpulan jenayah.

Tiger bukan pelakon Bollywood pertama yang berhadapan dengan serangan berbahaya itu, sebelum ini pengarah terkenal, Rakesh Roshan pernah ditembak pada tahun 2000 oleh kumpulan mafia gara-gara enggan menuruti untuk bekerjasama dengan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok