MENGHITUNG hari, pempengaruh juga bekas isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Fie dengan tunangnya dikenali sebagai Cap A memilih 1 November ini sebagai tarikh disatukan.
Dr. Fie atau nama sebenar Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36, berkata, mereka kini dalam fasa membuat persiapan akhir untuk majlis pernikahan serta resepsi kedua-dua belah pihak.
“Alhamdulilah, tinggal dua minggu lagi kami bakal melangkah ke alam perkahwinan dan kembali membina kehidupan baru bersama anak-anak kami.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Ini juga pengalaman baru apabila kita sendiri aturkan majlis. Dulu saya masih belajar, tiada masa uruskan kenduri. Kali ini ada personal touch selain dibantu taema.kl sebagai pengendali acara.
“Urusan majlis kali ini agak mencabar sebab selepas hampir sedekad, rupa-rupanya kerja kahwin banyak perubahan dengan adanya Wedding Content Creator (WCC) dan Bride Assistant,” katanya kepada HibGlam.
Memperincikan lagi persediaan menuju hari bahagia, akui ibu kepada tiga anak itu, dirinya bertuah mendapat sokongan penaja, pengendali acara serta ahli keluarga yang banyak membantu dari A ke Z.
“Semua yang saya dan bakal suami rancangkan akan direalisasikan dengan bantuan ramai insan terdekat serta pihak luar. Kiranya persediaan hampir 100 peratus sempurna.
“Pada awalnya memang nak buat kecil-kecilan tetapi ada yang nak sama-sama memeriahkan majlis termasuk mengindahkan pelamin serta menaja tiga persalinan pengantin.
“Nanti akan ada booth bunga-bungaan, makanan, aneka pilihan minuman serta photobooth dengan bermacam konsep menarik,” ujarnya.
Menurut Dr. Fie lagi, majlis akad nikahnya dengan ahli perniagaan itu akan diadakan di Seremban, Negeri Sembilan disusuli majlis resepsi pada hari yang sama.
Katanya, satu lagi persandingan serta menyambut menantu pula akan diadakan di Kuala Lumpur seminggu selepas pernikahan.
Mengenai perasaan melangkah semula ke alam perkahwinan, Dr. Fie mengakui berdebar, namun sudah sedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
“Alhamdulillah, biasalah perasaan gemuruh mesti ada, mungkin disebabkan sibuk membuat persiapan kenduri selain ada juga kejutan untuk si dia. Sebab itu rasa gementar sikit.
“Tetapi sokongan semua mengiringi perjalanan kami sekeluarga terutama mereka di luar sana yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraan kami,” katanya.
Terdahulu, Dr Fie juga doktor gigi mengumumkan mengikat pertunangan dengan lelaki berstatus duda pada 2 Ogos lalu di kediaman keluarganya di Seremban.
Sebelum itu, Dr. Fie dan Nubhan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Disember 2025 selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4 tahun. – HIBGLAM

