Terima ugutan bunuh, Idan Aedan ambil tindakan undang-undang

GARA-GARA terpalit dakwaan mengganggu wanita berstatus tunangan orang, pelakon Idan Aedan mengakui pernah menerima ugutan melampau termasuk bunuh.

Menurut Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah, 22, ugutan itu diterimanya dalam media sosial daripada beberapa individu.

“Ketika kisah itu sedang hangat diperkatakan, saya dapat banyak komen negatif dalam media sosial termasuklah ugutan bunuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disebabkan itulah saya ambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan melantik peguam. Saya juga membuat laporan polis.

“Kalau komen-komen lain saya tak ambil pusing. Tetapi bila melibatkan ugutan bunuh, saya perlu ambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran poster dan trailer filem Kacau, semalam.

Ditanya adakah dia mengenali individu yang mengugutnya, kata Idan dia langsung tidak mengenali siapa mereka.

“Komen-komen itu dibuat secara rawak. Ada yang menggunakan dialek yang saya kurang faham. Jadi saya rujuk kepada rakan pelakon iaitu Evanattie Sannie yang berasal dari Sabah untuk faham apa yang mereka komen,” jelasnya.

Tambah calon Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-35 itu lagi, kes ini masih berjalan dan hampir selesai.

“Apa yang saya boleh katakan kes ini hampir ke penghujungnya,” ujarnya.

Terpalit dengan kontroversi seperti ini pastinya akan mencalarkan reputasi baiknya sebagai pelakon yang semakin mendapat perhatian ramai. Namun kata Idan dia enggan menjadikan isu ini sebagai pelemah semangat untuknya terus memberikan yang terbaik dalam kerjayanya.

“Sejujurnya saya tak rasa isu ini beri kesan kepada kerjaya saya. Saya dan keluarga baik-baik sahaja. Kami teruskan hidup seperti biasa.

“Peminat-peminat pun okey sahaja dan mereka sangat menyokong kerjaya saya. Saya pun lebih fokus kepada kerja seni.

“Kalau boleh saya tak mahu terlampau negatifkan hidup saya walaupun ramai cuba menjatuhkan saya,” kongsinya.

Terdahulu sebelum ini Idan dikatakan menjalin hubungan dengan seorang wanita berstatus tunangan orang. Beberapa rakaman kononnya dia ke hotel bersama wanita tersebut turut tersebar. Namun Idan menafikan dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Idan bakal muncul dengan filem seram Kacau arahan Muzzamer Rahman yang bakal menemui penonton pada 12 November 2026. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok