Muncul di GP Singapura, aksi menguap Kim K jadi sorotan

KEHADIRAN selebriti popular, Kim Kardashian di Grand Prix (GP) Formula One (F1) Singapura, semalam mencuri perhatian apabila dilihat tidak mampu menahan mengantuk sehingga menguap besar ketika berada di Litar Jalan Raya Marina Bay.

Barangkali dia terlalu letih kerana menempuh penerbangan panjang hampir 11,000 kilometer yang difahamkan dari Honululu, Hawaii ke republik berkenaan.

Menaiki jet peribadi, sosialit berusia 45 tahun itu dikatakan sanggup membuat kejutan demi memberi sokongan kepada kekasihnya, Lewis Hamilton.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sedutan videonya menguap tanpa menutup mulut kini tular di laman sosial, namun ramai peminat meminta netizen tidak mengganggu selebriti terbabit yang masih kepenatan menaiki pesawat lebih 12 jam, selain jetlag berikutan perubahan zon waktu.

“Adakah dia tidak boleh rasa penat atau menguap semata-mata kerana dia kaya,” tulis seorang netizen.

Terdahulu, kehadiran Kim di venue perlumbaan dalam persalinan rekaan rumah fesyen mewah Alaïa membuatkan sorotan mata ramai serta lensa kamera sentiasa terarah kepadanya.

Gaun labuh tanpa lengan dengan potongan leher tinggi menampilkan bahagian kain jarang bersama lapisan menyerupai pakaian dalam menyerlahkan keberaniannya.

Penampilannya dilengkapkan kasut tumit tinggi rona perak diacu beg tangan mini Hermès Mini Kelly merah jambu yang dihiasi aksesori Chrome Hearts.

Ditemani dua sahabat, gaya elegen ibu kepada empat anak itu ketika dia berjalan ke kawasan paddock iaitu lokasi pasukan dan pelumba membuat persiapan sebelum perlumbaan cukup menyerlah.

Istimewanya, dia turut meluangkan masa menyantuni peminat termasuk kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar bersama.

Kehadiran Kim di Singapura sekali lagi memperlihatkan sokongan terhadap Hamilton, 41, yang kini bersaing bersama pasukan Ferrari.

Dalam perlumbaan semalam, Hamilton menamatkan saingan di tempat ketiga selepas Max Verstappen muncul juara, manakala rakan pelumba Ferrari, Charles Leclerc, menduduki tempat kedua.

Verstappen mencatat masa 1 minit 31.373 saat, diikuti Leclerc dengan 1 minit 31.427 saat, sementara Hamilton merekodkan 1 minit 31.496 saat.

Terdahulu, hubungan Kim dan Hamilton menjadi perhatian apabila selebriti itu beberapa kali tampil memberikan sokongan kepada pelumba Britain terbabit termasuk ketika GP Monaco pada Jun lalu.

Hamilton merupakan juara dunia F1 tujuh kali, manakala perlumbaan utama GP Singapura dijadual berlangsung di Litar Jalan Raya Marina Bay, hari ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok