MAHKAMAH Paris memberikan pampasan simbolik sebanyak 1 Euro (RM4.70) kepada bintang realiti, Kim Kardashian susulan kes rompakan bersenjata di sebuah hotel di ibu negara Perancis itu pada 2016.
Jumlah tersebut merupakan pampasan yang diminta Kardashian sendiri, selepas mahkamah tahun lalu mendapati lapan individu bersalah dalam kejadian rompakan yang disifatkannya sebagai pengalaman paling menakutkan.
Kardashian bersama jurugayanya, Simone Harouche, yang turut berada di lokasi ketika kejadian, menerima keputusan berkenaan dan menzahirkan penghargaan terhadap sistem keadilan Perancis.
“Pengalaman itu amat traumatik dan kesannya kekal bersama kami. Keputusan hari ini bukan mengenai pampasan, tetapi akauntabiliti dan pengiktirafan,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Pada 2 Oktober 2016 ketika Minggu Fesyen Paris, dua daripada perompak terbabit yang menyamar sebagai anggota polis memecah masuk ke dalam suite Kardashian di Hotel de Pourtales sebelum mengikat tangan dan mulutnya menggunakan pengikat kabel.
Perompak berkenaan kemudian melarikan barang kemas bernilai lebih RM25 juta termasuk sebentuk cincin berlian yang dipakai Kardashian. – HIBGLAM

