‘Hasrat ayah tunai haji, lancar buku tidak kesampaian’

HASRAT menunaikan rukun Islam kelima tidak kesampaian, anak kepada Allahyarham Jalil Hamid, Afiqah Jalil mengakui bapanya menyimpan rasa kecewa.

Ujar Afiqah, 33, Allahyarham sepatutnya berangkat menunaikan ibadah haji tahun ini selepas mengikuti kursus persediaan, namun masalah kesihatan menjadi penghalang.

Memang itu hasrat terbesar dia. Tahun lepas ibu pergi seorang, tahun ini ayah sudah buat kursus haji  tetapi tak dapat pergi sebab masalah jantung.

“Dia agak kecewa juga. Kami cuba pujuk kata tak apa, mungkin belum rezeki. Tapi saya tahu dia sedih tak dapat tunaikan haji,” katanya kepada HibGlam.

Tambah anak kelima daripada enam adik beradik itu, Allahyarham pernah berseloroh tentang hajat tidak kesampaian itu memandangkan pernah membintangi telefilem berkisar haji berjudul Selangkah ke Syurga.

“Dia pernah berlakon cerita tak jadi pergi haji, jadi kami selalu bergurau tentang perkara itu.

“Tapi di sebalik gurauan, saya tahu dia simpan rasa sedih. Itu memang impian dia,” ujarnya.

Afiqah turut meluahkan rasa syukur kerana masih berpeluang menikmati momen berharga bersama bapa tercinta meski hubungan mereka sebelum ini sering disulami perbezaan pendapat.

“Saya bersyukur sebab sempat ada momen dengan ayah. Walaupun kami selalu berbalah,jauh di sudut hati saya hargai dia.

“Bila fikir balik, saya rasa bersyukur sebab dia tahu kami sayang dan hargai dia,” luahnya.

Mengimbau detik terakhir bersama, Afiqah berkata perbualan terakhir mereka berlaku malam sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Kongsi Afiqah lagi,  hasrat bapanya ingin ke Singapura untuk pelancaran bukunya yang berjudul Autobiografi Jalil Hamid juga tidak kesampaian.

“Sebenarnya kami merancang untuk pergi ke Singapura bersama-sama. Semua persiapan termasuk pasport sudah siap dan kami bercadang hendak memandu ke sana.

Semalam pun ayah ada bercakap mengenai pelancaran bukunya. Dia memang sangat teruja dengan buku itu. Kadang-kadang dia buat siaran langsung dan kalau ada yang menyokong atau membeli buku berkenaan, dia sangat menghargainya.

“Saya pun turut teruja sebab saya antara orang yang membantu mempromosikan bukunya. Jadi memang nampak dia sangat gembira dan bersemangat mengenainya,” kongsi Afiqah.

Terdahulu, Allahyarham Jalil Hamid dilaporkan meninggal dunia di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari.

Berita pemergian figura seni itu dikongsikan Afiqah menerusi media sosial.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar hari ini.

Sepanjang hayat, Allahyarham dikenali sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak serba boleh. Antara pencapaian membanggakan termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Baginda serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2016 (Calon Syurga).

Pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam buat industri seni tempatan, keluarga dan peminat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok