Dah hantar lima pucuk surat, langsung dia tak peduli – Syida Melvin

PELAKON dan usahawan, Syida Melvin akhirnya hilang sabar apabila mendakwa terpaksa meninggalkan kediaman sendiri selama lapan bulan demi melindungi diri serta anak-anak daripada konflik berpanjangan bersama bekas suaminya, Syafiq Azim.

Syida atau nama sebenarnya Nur Syifa Assyidda Amirol Melvin berkata, keputusan keluar dari rumah tersebut bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas mendakwa berdepan penderaan emosi yang berlarutan sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Menurutnya, tindakan itu diambil bagi memastikan kesihatan mental dan fizikalnya, selain kesejahteraan emosi anak-anak, tidak terus terjejas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika kalian melihat video yang tular hari ini, saya sudah sampai ke tahap batas kesabaran yang mana sudah tidak boleh beralah lagi dengannya. Sudah lapan bulan saya bersama anak-anak keluar dari rumah itu.

“Ya, saya keluar kerana mahu melindungi kesihatan mental dan fizikal saya, selain emosi dan pemikiran anak-anak.

“Mengapa? Kerana berlaku penderaan emosi, di mana caci maki dan hinaan sudah menjadi perkara biasa bagi dirinya. Disebabkan itulah saya keluar dari rumah tersebut,” katanya menerusi sebuah video.

Bagaimanapun, Syida menjelaskan hasratnya untuk kembali menduduki kediaman berkenaan bukan semata-mata melibatkan soal hak terhadap rumah, sebaliknya demi memastikan urusan persekolahan anak-anak kembali teratur.

Katanya, sejak meninggalkan rumah itu pada April lalu, dia terpaksa menumpang di rumah keluarga di kampung, manakala anak-anak tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa.

“Saya keluar dari rumah itu sejak April lalu sehinggalah sekarang, terpaksa menumpang di kampung dan anak-anak tidak bersekolah.

“Saya hanya mengambil guru tuisyen peribadi untuk mereka. Hari ini 10 November, saya mahu masuk semula ke rumah itu kerana sudah tamat tempoh idah dan saya mempunyai hak terhadap rumah tersebut.

“Dia tidak berhenti ulang dakwaan bahawa rumah itu adalah harta sepencarian. Ya, tetapi tidak adakah hak untuk saya menumpang teduh di situ? Anak-anak mahu bersekolah, pakaian mereka bersepah di sana sini. Amat sukar bagi saya menumpang di rumah orang lain,” katanya.

Mengulas mengenai usaha menyelesaikan pertikaian itu, Syida berkata, pihak peguamnya sudah beberapa kali menghantar surat kepada Syafiq, namun mendakwa tiada sebarang perkembangan positif.

Jelasnya, proses mendapatkan perintah mahkamah pula memerlukan tempoh antara enam hingga lapan bulan, sekali gus menyebabkan dia bimbang masa depan anak-anak terus terjejas.

“Peguam saya sudah menghantar empat hingga lima pucuk surat, namun dia langsung tidak peduli dan tetap berkeras mahu saya dapatkan perintah mahkamah.

“Proses itu mengambil masa antara enam hingga lapan bulan, terlalu lama sedangkan anak-anak perlu ke sekolah. Tolonglah, bagaimana lagi saya perlu berdepan dengan individu yang bersikap narsisistik sebegini?

“Saya keluar kerana dihina dan dicerca. Dia mencederakan diri sendiri seperti pecahkan meja, kemudian menuduh saya yang melakukannya. Kini bila saya mahu pulang, dia memutarbelitkan keadaan dan mempersoalkan mengapa saya keluar dahulu,” jelasnya.

Tukar tombol kunci

Lebih mengecewakan, Syida turut mendakwa Syafiq bertindak menukar keseluruhan kunci pintu kediaman sebaik sahaja dimaklumkan mengenai hasratnya untuk kembali ke rumah tersebut.

Katanya, perkara itu berlaku pada 21 Ogos lalu meskipun dia sudah memaklumkan rancangan untuk pulang pada 30 Ogos menerusi surat yang dihantar pihak peguam.

“Saya sudah memaklumkan untuk kembali ke rumah pada 30 Ogos dan pihak peguam juga telah menghantar surat. Namun pada 21 Ogos lalu, dia mengupah tukang kunci untuk menukar semua tombol pintu rumah sehingga disedari oleh jiran.

“Bila keadaan ini berlaku, dia menuduh saya sengaja menularkan isu ini semata-mata mahu melancarkan produk baharu. Saya sudah buntu.

“Saya menumpang rumah kakak dan duduk di kampung selama empat bulan. Keadaan rumah itu amat kotor sehingga saya terpaksa mengupah pekerja pembersihan, namun lihatlah apa tindakannya sewaktu siaran langsung saya,” ujarnya.

Dalam masa sama, Syida menegaskan dia tidak pernah menuntut hak pemilikan mutlak terhadap kediaman berkenaan, sebaliknya hanya mahu mendapatkan tempat tinggal yang selesa untuk dirinya dan anak-anak.

“Mengapa saya yang perlu menyewa rumah lain sedangkan dia hanya tinggal sendirian? Dia memiliki banyak rumah, keluarganya berada dan mempunyai banyak aset, pergilah tinggal di sana.

“Berikan ruang kepada saya dan anak-anak untuk mendiami rumah tersebut. Saya tidak pernah mengatakan rumah itu milik saya seratus peratus,” katanya lagi.

Kemelut rumah tangga pasangan itu kembali menjadi perhatian apabila Syida membuat siaran langsung menerusi TikTok hari ini bagi meminta Syafiq keluar dari kediaman berkenaan.

Situasi tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial apabila Syafiq turut beberapa kali tampil mempertahankan diri, namun tindakannya ketika siaran langsung itu mencuri perhatian.

Antaranya, dia dilihat bergelak ketawa, bersantai menikmati makanan serta menyapu rumah ketika Syida sedang berusaha menyelesaikan kemelut berkenaan.

Terdahulu, Syida dan Syafiq sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan yang mendirikan perkahwinan pada 19 Januari 2019 itu merupakan anak kepada Iron Lady Malaysia, Allahyarham Datuk Dr. Maznah Hamid.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Safa Safeera, Sara Sajedda dan Serhan Isa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok