‘2 tahun hilang, rasa seperti sia-siakan usaha ibu’

KEHILANGAN insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dihadam, apatah lagi apabila setiap kali berdiri di pentas, bayangan arwah abang kandungnya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar sentiasa terbayang dalam fikiran.

Lama merawat jiwa, penyanyi Aufahanie akhirnya nekad meninggalkan kerjaya pramugari untuk kembali mengejar cinta pertamanya, nyanyian.

Aufahanie atau nama lengkapnya, Nur Aufahanie Mokhtar, 23, berkata, keputusan meninggalkan dunia seni sekitar 2024 dibuat selepas berdepan kesukaran mengawal emosi setiap kali membuat persembahan susulan pemergian abangnya, Allahyarham Muhammad Nidza.

Memuatkan artikel berkaitan…

Masih ingat

Katanya, ketika itu dia tidak lagi menikmati kegembiraan kerana pentas nyanyian sentiasa mengingatkannya kepada insan yang banyak menyokong perjalanan seninya.

“Selepas abang pergi, saya rasa sangat tertekan dan tidak gembira. Sebelum ini setiap kali menyanyi, abang selalu ada bersama saya. Apabila berada di pentas, saya pasti teringatkan arwah.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk bertukar bidang. Walaupun tidak menyanyi, saya tetap perlu mencari pendapatan.

“Saya perlu bekerja untuk menjaga kebajikan emak. Selepas abang pergi, hanya tinggal saya dengan kakak.

“Selepas hampir dua tahun ‘terbang’, kini saya bersedia kembali ke arena nyanyian.

“Walaupun berat untuk berhenti, nyanyian memang jiwa saya. Lagi pun, tugas sebagai kru kabin sangat mementingkan aspek keselamatan.

“Saya bimbang jika terlalu banyak perhatian diberikan terhadap kehidupan peribadi sehingga mengganggu kelancaran tugas,” ujarnya selepas ditemui pada majlis pelancaran cawanganke-25 Bayu Somerset di 118 Mall, baru-baru ini.

Mengulas kerjaya sebagai pramugari yang tidak banyak dikongsikan kepada umum, Aufahanie menjelaskan, dia bukan sengaja merahsiakan pekerjaan tersebut, sebaliknya lebih selesa menjaga batas profesionalisme ketika menjalankan tugas.

“Bukan saya mahu merahsiakannya, cuma bagi saya tidak perlu bercerita kepada semua orang.

“Kalau orang nampak saya bekerja, mereka akan tahu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aufahanie berkata, dia mengambil masa hampir tujuh bulan untuk memikirkan hala tuju kerjaya sebelum membuat keputusan kembali serius dalam bidang nyanyian, termasuk mendapatkan pandangan ibunya yang menjadi tulang belakang perjalanan seninya.

“Umi (panggilan terhadap ibu) lebih suka saya menyanyi. Perjalanan saya dalam industri ini pun semuanya bersama umi. Kalau saya tidak menyambung kerjaya nyanyian, saya rasa seperti mensia-siakan usaha umi selama ini.

“Apa yang saya miliki hari ini banyak hasil sokongan dan pengorbanan umi. Jadi, kepulangan saya dalam bidang seni ini juga untuk umi,” katanya.

Mengulas perkembangan terbaharu, pelantun lagu Butterfly itu mengakui proses kembali aktif dalam industri muzik tidak berlaku secara drastik, sebaliknya bermula dengan menerima tawaran persembahan secara berperingkat.

Pasukan

Malah, Aufahanie turut menghasilkan tiga hingga empat lagu bersama pasukan pengurusannya, EXO House sejak beberapa bulan lalu sebagai persiapan mengukuhkan semula kedudukannya dalam industri.

Antara karya terbaharu yang bakal diperkenalkan ialah single berjudul Tersenyum Lagi yang cukup dekat dengan kisah kehilangan abangnya.

Menurutnya, lagu berkenaan membawa mesej tentang harapan untuk kembali tersenyum meskipun terpaksa menerima hakikat kehilangan insan tersayang.

“Lirik lagu Tersenyum Lagi mempunyai mesej yang menggambarkan harapan untuk kembali tersenyum apabila mengenangkan arwah abang saya.

“Bukan susah dari segi vokal, cuma cabarannya adalah untuk mengawal emosi ketika menyanyikannya.

“Saya pernah terlalu sebak sehingga mengambil keputusan untuk tidak mempersembahkan lagu itu dalam satu acara kerana bimbang gagal mengawal perasaan,” ujarnya.

Mengenai keputusan kembali bekerjasama dengan EXO House, Aufahanie berharap kolaborasi berkenaan mampu membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya, sekali gus mengembalikan namanya dalam persada muzik tempatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok