KUMPULAN rock popular Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), membuka zon baharu bagi kategori Tier 3 sempena konsert My Chemical Romance South East Asia 2026 yang bakal berlangsung di TM Stadium Nasional, kurang sebulan lagi.
Meredakan keresahan peminat band yang cukup dikenali menerusi lagu Helena itu, tiket tambahan terakhir konsert mega My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur akan dibuka untuk jualan pada 22 Oktober 2026.
Perkara tersebut diumumkan penganjur, Hello Universe menerusi laman sosial GoLive Asia, sekali gus menafikan dakwaan ramai di gelanggang media sosial kononnya konsert berkenaan akan dibatalkan susulan kurang promosi meskipun menjelang 30 hari tarikh keramat persembahan.
“Peluang akhir untuk tonton My Chemical Romance secara langsung di Kuala Lumpur.
“Zon tambahan di bahagian Tier 3 akan dibuka untuk siri jelajah My Chemical Romance South East Asia 2026.
“Untuk mereka yang terlepas mendapatkan tiket tempoh hari, ini peluang kalian untuk mendapatkan tiket dan menjadi sebahagian daripada pengalaman,” tulis kenyataan terbabit di Instagram.
Peminat tegar kugiran itu yang dikenali sebagai Killjoys berpeluang mendapatkan tiket konsert anjuran Hello Universe Malaysia itu bagi menyaksikan persembahan kumpulan yang popular menerusi album The Black Parade itu.
Menurut penganjur, peminat disarankan memasuki ruang menunggu dalam talian 30 minit sebelum jualan tiket bermula.
Konsert berkenaan dijadual berlangsung pada 19 dan 20 November ini di Stadium Nasional.
Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi penganjur, GoLive Asia. – HIBGLAM.


