“MACAM mana nak menangis?”
Pertanyaan polos itu pernah terbit daripada mulut seorang kanak-kanak kecil kepada ibunya. Bukan kerana mahu meraih simpati, sebaliknya dia sedang cuba memahami emosi dan mencari cara terbaik untuk menzahirkan perasaan menerusi lakonan.
Hari ini, kanak-kanak tersebut sudah menjadi anak muda dan matang mengemudi langkah dalam dunia lakonan.
Mhia Firdaus, anak kepada pelakon Farah Ahmad dan cucu seniwati legenda, Datuk Fauziah Nawi, membuktikan bakatnya mampu berbicara lantang tanpa perlu bersandarkan nama besar keluarga.
Lebih membanggakan, lakonannya dalam filem Sayang Sayang berjaya menambat perhatian juri Festival Filem Golden Horse ke-63 apabila tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Pengiktirafan itu turut mengukir sejarah apabila gadis berusia 20 tahun itu muncul sebagai pelakon Melayu pertama menerima pencalonan dalam kategori berkenaan pada festival filem berprestij tersebut.
Ikhlas berlakon
Mengulas pencalonannya di Golden Horse, pemilik nama sebenar Mhia Farhana Firdaus itu mengakui tidak pernah menjadikan anugerah atau populariti sebagai matlamat utama ketika mula melangkah ke dunia lakonan.
“Sejak mula berlakon, saya tidak pernah berniat mengejar anugerah atau populariti. Saya ikhlas mahu berlakon dan menyampaikan cerita supaya penonton dapat memahami sesuatu isu atau idea melalui karya berkenaan.
Semuanya bergantung pada cita rasa masing-masing. Apabila karya kita mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sudah tentu saya bersyukur, namun perkara paling penting adalah cerita itu sampai kepada penonton dan mesejnya dapat difahami,” katanya kepada HibGlam.

MENJADI pelakon wanita tanah air pertama tercalon ke Golden Horse ke-63, Mhia bersaing engan empat lagi calon hebat iaitu Audrey Lin menerusi filem Girl, Sun Jialing (Big Little Things), Judy Ongg (Sunshine Women’s Choir) dan Kearen Pang (We Are Born Good). – FARIZ RUSADIO
Membawakan watak seorang gadis pekak dan bisu bukan tugas mudah, tanpa dialog lisan sebagai medium utama, Mhia perlu mencari cara untuk menyampaikan emosi wataknya dengan tepat, meyakinkan dan tidak keterlaluan.
“Sejak awal, saya dan rakan pelakon mempunyai kebimbangan sama iaitu kami enggan menggambarkan komuniti pekak secara tidak sensitif. Cabaran paling besar ialah mencari cara supaya pergerakan dan bahasa isyarat kami kelihatan semula jadi, bukannya janggal.
Guru bahasa isyarat kami menjelaskan ekspresi wajah perlu jelas ketika berkomunikasi. Mungkin bagi orang biasa, ada riak wajah tertentu kelihatan berlebihan, tetapi itulah sebahagian daripada cara mereka menyampaikan maksud.
“Kami turut makan malam bersama komuniti pekak.
“Melalui pengalaman itu, dapat melihat sendiri cara mereka berkomunikasi dan betapa ekspresifnya mereka. Kami perlu memastikan setiap gerak-geri dalam lakonan tidak kelihatan asing atau dibuat-buat,” jelasnya.
Tambah Mhia, dia perlu mengimbangi ketepatan bahasa isyarat dengan penghayatan emosi, bahasa tubuh dan kedudukan pelakon dalam setiap babak.
Bagi memastikan watak itu benar-benar hidup, Mhia turut berbincang dengan jurulatih lakonan dari Taiwan, Alice serta ibunya sendiri, Farah Ahmad.
Lebih daripada sekadar membawa pulang trofi, pengalaman itu menjadi peluang untuknya memperkenalkan kemampuan diri kepada khalayak lebih luas, sekali gus membuktikan bahawa anak seni daripada keluarga ternama juga perlu bekerja keras untuk membina identiti sendiri.
Tak tunggang nama ibu, nenek
Bercakap dalam konteks darah seni dimiliki bintang drama Khunsa itu, kelebihan tersebut turut hadir bersama cabaran tersendiri apabila kemampuannya mudah dikaitkan dengan nama Farah dan Fauziah Nawi.
“Saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga seni kerana mungkin peluang untuk saya lebih luas. Ada juga cabarannya, terutama bagaimana hendak berdiri atas nama sendiri dan bukannya terus dikaitkan dengan keluarga.
Walaupun ibu dan nenek saya pelakon, membawakan watak tertentu tetap bukan perkara mudah. Ada masanya saya sendiri tertanya-tanya sama ada mampu buat atau tidak.
“Mereka selalu menasihati saya supaya mengingati sebab saya memilih bidang lakonan dan tidak membiarkan kata-kata orang lain mengatasi keinginan untuk terus berkarya,” tegasnya.

BAKAL muncul menerusi filem Sayang Sayang di pawagam, pada 5 November. Mhia turut bersaksi bersama Khir Rahman, Amir Ahnaf dan ibunya sendiri, Farah Ahmad.
Paling penting kata anak kedua daripada tiga beradik itu, dia berusaha keras memperkukuh kemampuan diri dengan mengikuti kelas lakonan dan mendalami teater secara akademik.
Saya mahu orang melihat saya berada di sini hasil usaha sendiri. Sebab itu, saya mengikuti kelas lakonan, mencari ilmu dan mendalami bidang teater secara formal.
“Saya berharap segala usaha ini dapat membantu orang ramai mengenali kemampuan saya berdasarkan pengalaman serta ilmu, bukan hanya kerana saya datang daripada keluarga seni,” ujarnya.
Pendidikan nombor satu
Meskipun pencalonan di Golden Horse berpotensi membuka lebih banyak pintu dalam industri, Mhia tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan perhatian diberikan.
Dia turut menyimpan hasrat menggunakan pengiktirafan berkenaan sebagai sebahagian daripada portfolio untuk memohon biasiswa, termasuk peluang melanjutkan pengajian dalam bidang seni di luar negara.
“Pada usia sekarang, saya mahu memanfaatkan peluang dan platform ini untuk mengembangkan kerjaya lakonan. Namun, pendidikan tetap menjadi keutamaan saya.
Jika menang, saya berharap pengiktirafan dapat mengukuhkan portfolio, bantu saya memohon biasiswa melanjutkan pengajian dalam bidang seni, termasuk di luar negara.
“Ibu selalu ingatkan kami supaya terus belajar selagi berpeluang. Kerjaya lakonan tidak menjanjikan pendapatan tetap setiap bulan, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada ini untuk kelangsungan hidup,” luahnya.
Sentiasa mahukan cabaran, Mhia juga terbuka menerima pelbagai jenis watak, termasuk karakter lebih ‘berani’, namun berharap setiap babak ditampilkan dengan kreativiti sewajarnya.
“Saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk merealisasikan visi pengarah. Namun, saya juga ada prinsip dan hormati diri sendiri serta reputasi.
Jika sesuatu babak boleh disampaikan melalui permainan bayang-bayang atau pendekatan kreatif lain, saya lebih menghargainya berbanding paparan secara terus. Kadangkala, penonton tidak perlu melihat semuanya untuk memahami maksud sesebuah babak.
“Saya terbuka terhadap pelbagai watak dan genre. Walaupun pernah membawa watak kompleks, saya tahu perjalanan masih panjang dan banyak perkara perlu dipelajari. Setiap kritikan akan saya jadikan panduan untuk membentuk watak lebih baik pada masa hadapan,” tutupnya. – HIBGLAM

