BERSAKSIKAN Menara Merdeka 118, pelakon Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi.
Pasangan ini dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pada majlis berkenaan, Saddiq atau nama penuhnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500 berserta tujuh dulang hantaran.
Manakala, pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran
Majlis bertemakan Arab dan putih itu dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga serta teman rapat pasangan itu.
Beberapa tetamu ternama turut hadir iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Terdahulu, Syed Saddiq sebelum ini memberi bayangan bakal menamatkan zaman bujang sebelum penghujung tahun ini selepas menerima restu daripada ibu bapanya.
Pasangan sama cantik sama padan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016.
Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dan akhirnya berpisah kali kedua pada Mac 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6. – HIBGLAM

