‘Mahu fokus mengarah, saya sampaikan suara anak kecil’

BUKAN semua orang beroleh rezeki merantau jauh menimba ilmu di negara orang, namun peluang itu yang berjaya diraih Janna Nick selama setahun di United Kingdom (UK).

Menyelesaikan kursus Sarjana Seni dalam Perfileman bukan sekadar memberi peluang mengutip ilmu baharu dalam bidang perfileman malah mengubah cara pemikirannya tentang kehidupan dan hala tuju kerjaya dalam industri seni.

Matang, pemikiran

Memuatkan artikel berkaitan…

Janna atau Nurul Jannah Muner yang baru sahaja menamatkan pengajian mengakui pengalaman bergelar pelajar di UK mengubah pelbagai tanggapan dan melihat dunia daripada pelbagai perspektif berbeza.

“Tempoh setahun bergelar pelajar sangat menyeronokkan dan mematangkan diri serta dapat melihat dunia daripada perspektif sebagai bukan figura awam.

“Bila berada di sana selama setahun, saya menghabiskan masa sebagai orang biasa dan pelajar.

“Keputusan untuk sambung belajar adalah sangat tepat malah bagus untuk mencari ilmu pada usia sekarang,” katanya kepada HibGlam.

SETAHUN berulang-alik bersama suami ke kelas menjadi momen paling dirindui Janna. – FIRDAUS JOHARI

Ujar pelakon berusia 31 tahun itu, rutin menghadiri kelas dan mempelajari ilmu baharu setiap hari membuatkan dia lebih pantas berfikir selain membuka mata kepentingan mencari kemahiran baharu.

“Awalnya saya sangka sambung belajar pada usia 31 tahun tidak sesuai tetapi sebenarnya keputusan itu tepat kerana buat otak lebih cerdas.

“Kalau tidak, fikiran macam berkabus dan lambat untuk memahami banyak perkara.

“Tanpa sedar, pergi ke kelas dan belajar setiap hari melatih otak berfikir lebih pantas, mempelajari pelbagai perkara baharu,” katanya.

Tambahnya, pengalaman mengikuti pengajian dalam bidang perfileman turut memberi ruang melakukan penyelidikan berkaitan produksi dan industri kreatif.

Dia bahkan sudah tidak sabar untuk mempraktikkan semua yang dipelajari terutama dalam bidang pengarahan.

“Penyelidikan yang saya buat di sana memang sangat mendalam mengenai dunia seni.

“Saya memang tidak sabar untuk bawa apa yang saya belajar itu ke dalam industri Malaysia, insya-Allah,” kongsi bekas pengacara Melodi itu.

Bukan sahaja ilmu yang diperoleh, dia memberitahu banyak perkara yang akan dirindui selepas setahun bergelar pelajar dan menetap di UK terutama momen manis bersama suaminya, Dini Schatzmann.

Antara momen yang akan dirindui adalah rutin Dini menghantarnya ke kelas setiap hari.

“Apa yang paling dirindui di sana, Dini setiap hari tanpa gagal selama 365 hari akan hantar saya pergi dan balik dengan berjalan kaki.

“Walaupun ada hari yang kami macam bermasam muka, gaduh-gaduh manja, dia tetap hantar.

“Jalan kaki juga selama tujuh minit walaupun muka marah. Itu momen yang akan diingati sampai bila-bila,” ujarnya yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Dini selama tiga tahun.

Belakang tabir

Berkongsi lanjut mengenai perancangan kerjaya seni, Janna mahu memberi lebih tumpuan terhadap kerja di belakang tabir berbanding mengejar populariti sebagai pelakon.

Dia bahkan sudah mempunyai perancangan besar menerusi syarikat produksinya sendiri yang bakal dikongsikan kepada umum pada tahun depan.

“Saya akan lebih aktif berada di belakang tabir. Banyak perancangan sudah diatur dan tidak sabar untuk kongsi dengan orang ramai.

“Doakan yang terbaik, semua perancangan dan projek besar itu saya akan umum nanti, mungkin tahun depan.

“Mungkin penonton akan kurang nampak wajah saya dalam televisyen selepas ini sebab mahu fokus pengarahan yang sangat saya minati,” jelasnya.

SELEpas memiliki ijazah sarjana dalam perfileman, Janna kini lebihj selektif menerima tawaran lakonan.

Janna bagaimanapun menegaskan keputusan tersebut tidak bermakna dia akan meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya.

Dia sebaliknya masih terbuka menerima tawaran jika diberikan naskhah yang benar-benar menarik minatnya.

“Kalau ada orang tawarkan filem, saya akan berlakon. Jika drama, saya lebih selektif, terutama terhadap jenis naskhah.

“Sebab drama menuntut waktu penggambaran yang sangat panjang, paling minimum 35 hari dan penggambaran 18 jam sehari.

“Dalam situasi sekarang ini saya perlu untuk berfikir secara kreatif, saya tidak boleh biar otak penat,” ujarnya yang ditawarkan drama 20 episod, namun belum memberi keputusan sama ada akan terlibat atau sebaliknya.

Visi

Ditanya sama ada dirinya merindui untuk kembali aktif beraksi sebagai pelakon, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mula menyedari minatnya kini lebih terarah kepada bidang pengarahan berbanding lakonan.

“Kalau ada rezeki dan dapat naskhah yang bagus, memang saya akan beri hasil yang terbaik.

“Tetapi buat masa sekarang cita-cita saya lebih kepada mahu menjadi seorang pengarah yang terbaik,” kongsinya lagi.

Mahu menjadi pengarah wanita yang disegani, dia memasang impian untuk menghasilkan karya berkaitan trauma zaman kanak-kanak yang menjadi platform menyuarakan perkara positif kepada masyarakat.

Bagi Janna, menyampaikan kisah mengenai kanak-kanak atau golongan minoriti merupakan satu tanggungjawab yang mahu dipikulnya melalui karya seni.

“Visi saya sebagai seorang pengarah perempuan ialah mahu menghasilkan naskhah yang baik untuk disampaikan.

“Saya nak cerita tentang trauma zaman kanak-kanak, isu yang boleh memberi manfaat kepada golongan yang tak mampu untuk bersuara.

“Macam kita tahu, anak-anak kecil tidak boleh nak bersuara dan orang tidak percaya atau mereka takut nak bersuara.

“Jadi itu adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengarah dan anak seni untuk menyampaikan cerita tentang suara mereka, itu adalah matlamat saya,” jelasnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok