‘Minta maaf, masalah teknikal Pemuja Syaitan salah saya’

Liyana Jasmay menangis, mohon maaf isu teknikal Pemuja Syaitan

PELAKON Liyana Jasmay memohon maaf apabila slot tayangan filem seram sulung arahannya, Pemuja Syaitan terpaksa ditarik balik pada hari pertama tayangan semalam susulan masalah teknikal yang menjejaskan kualiti visual naskhah tersebut.

Liyana, 38, secara terbuka mengakui berasa kesal malah mengakui kesilapan tersebut berpunca daripada kecuaian sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket wayang untuk tayangan hari ini (semalam).

“Memang tarikh 15 Oktober ialah hari pertama tayangan Pemuja Syaitan tetapi malangnya dalam setiap perkara memang ada dugaan.

“Ini filem pertama saya, macam-macam dugaan yang dihadapi dan saya berdepan masalah teknikal,” katanya menerusi sebuah video.

Dia mengakui terlalu yakin dengan hasil kerja yang disediakan sehingga tidak menyedari masalah pada visual filem berkenaan sebelum ditayangkan kepada penonton.

“Masalah teknikal ini memang datangnya daripada kesalahan sendiri. Saya terlalu yakin.

“Saya ingatkan visual sudah sempurna,” katanya lagi dalam nada sebak.

Dia turut memohon maaf kepada penonton yang terpaksa berdepan masalah visual, termasuk babak yang kelihatan terlalu gelap sehingga menyukarkan mereka melihat beberapa bahagian filem berkenaan.

“Jadi, saya minta maaf kepada semua yang sudah menonton pada hari ini kerana mungkin akan tengok filem agak gelap dan rasa pelik sebab ada bahagian kalian tidak nampak.

“Tapi itu semua masalah teknikal yang salahnya datang daripada diri saya juga tetapi saya sudah cuba betulkan isu ini,” jelasnya.

Enggan membiarkan masalah tersebut berlarutan, Liyana berusaha membetulkan kesilapan itu pada hari pertama tayangan supaya penonton pada hari-hari berikutnya dapat menikmati filem berkenaan dengan kualiti visual yang labih baik.

“Sepanjang hari ini iaitu pada hari pertama tayangan, saya dah cuba betulkan semuanya.

“Kalian akan dapat tonton visual terbaik yang ingin saya paparkan kepada penonton.

“Jadi, saya harap kepada penonton yang akan tonton pada hari Jumaat (hari ini), Sabtu dan Ahad, semua visual sudah pulih,” jelasnya lagi.

Bintang filem Qifarah itu mengakui berasa sedih dan bersalah terhadap penonton yang sudah membeli tiket pada hari pertama kerana tidak dapat menyaksikan versi berkualiti hasil suntingannya.

“Saya cuma nak minta maaf kepada yang dah tonton pada hari ini (semalam) sebab memang berlaku kesalahan sangat besar.

“Saya rasa bersalah sebab orang yang beli tiket menonton bukan versi akhir tetapi suntingan yang tersalah itu.

“Masalah teknikal sudah selesai, jadi tolong jangan rasa tertipu. Terima kasih,” ujarnya.

Pemuja Syaitan menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Aila Azizul dan Nadhir Nasar.

Turut membintangi filem berkenaan ialah Ellyza Azizi, Dhabita Auji, Aida Amron, Hakim Khan, Nat Aaliyah, Rosdeen Suboh, Dee Al Hadi, Yusuf Amin, Atoi Tohet, Selena Jasmay dan Marsha Biddulph.

Karya terbitan Mermaid Studios dan Suraya Filem Production & Distribution itu turut mendapat kerjasama Skop Productions Sdn. Bhd. sebagai rakan pengedaran serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran.

Filem bergenre seram dan thriller itu mengisahkan sekumpulan pelajar sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau sebelum berdepan pelbagai kejadian misteri dan mengerikan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok