PENYANYI Faizal mengakui pernah berasa sedih selain hilang keyakinan diri sebelum membuat keputusan menyertai program realiti popular, Gegar Vaganza Fantasia (GVF).
Faizal atau nama lengkapnya, Mohammad Faizal Ramly, 42, berkata, semangatnya untuk kembali mewarnai industri hiburan mula pulih selepas ramai peminat berkongsi semula video lamanya ketika menyertai Diari Akademi Fantasia (AF).
Menurutnya, perkongsian tersebut secara tidak langsung memberi gambaran bahawa masih ada peminat yang mengingati dan merindui kemunculannya dalam industri muzik.
“Mungkin sebab mereka sudah lama tidak tengok saya. Sedih juga sebenarnya kerana ketika menyertai GVF, macam-macam persoalan bermain dalam fikiran.
“Saya sudah lama tidak muncul, masih ada lagikah orang yang mahu mendengar saya menyanyi atau berminat dengan persembahan saya? Keyakinan itu sudah hilang.
“Apabila orang mula memuat naik video ketika saya menyertai Diari AF, sedikit sebanyak perkara itu menyuntik semangat untuk saya membuat kemunculan semula,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Lihatlah itu terharu dan bersyukur apabila menerima sambutan positif daripada peminat yang menyambut baik kepulangannya ke pentas nyanyian.
“Seronok apabila orang bergurau dan tidak ada yang mengecam. Kalau ada pun, ramai juga yang mempertahankan saya.
“Bukan sebab saya baik, tetapi kecaman sebegitu sebenarnya tidak patut timbul memandangkan saya baru hendak kembali dalam industri.
“Saya ambil perkara itu secara positif,” ujarnya.
Mengulas tindakan menyekat pengguna media sosial yang meninggalkan komen negatif, Faizal berkata, dia tidak melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang perlu dilakukan, sebaliknya memilih untuk tidak mengendahkannya.
“Tak perlulah sekat, saya biarkan saja. Janji kita baik, sudah cukup.
“Saya bukan nak kata saya baik, tetapi kita tidak perlu fikir perkara yang tidak sepatutnya.
“Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan dalam hidup ini,” jelasnya.
Sejak kembali aktif dalam dunia hiburan, Faizal dilihat mula mendapat perhatian peminat, termasuk generasi baharu yang kembali mengenali perjalanan seninya menerusi perkongsian video lama ketika menyertai Diari AF. – HIBGLAM

