PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim tampil bersuara mengenai wujud beberapa individu dalam industri seni tempatan melabel segelintir artis sebagai ‘diva’ hanya disebabkan lantang mempertahankan hak diri.
Sarimah, 48, berkata, situasi tersebut normal berlaku dalam industri seni terutama segelintir pihak yang enggan bekerjasama dengan artis bukan pilihan atas alasan sukar memberi kerjasama.
“Dalam industri ini, ada yang mengatakan mereka tidak mahu bekerja dengan sesetengah artis kecuali mempunyai sikap mudah untuk bekerjasama.
Malangnya, perkara itu bermaksud sesiapa yang bersuara memperjuangkan hak, tidak mengampu atau tak memilih puak akan dilabel sebagai susah, diva, berkira atau mahal,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Dia menambah, perkara tersebut tidak seharusnya dilihat dari satu sudut sahaja kerana terdapat juga pelakon yang enggan bekerjasama dengan individu yang memberi tekanan di set penggambaran.
Tapi sebenarnya okey saja kerana hakikatnya ramai pelakon hebat juga tidak mahu bekerja dengan individu yang tidak stabil, melepaskan masalah di set penggambaran yang mungkin didorong oleh kronisme.
“Jadi, semuanya adil dan bagus,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai respons yang rata-ratanya bersetuju dan berterima kasih kepadanya kerana bersuara mengenai hal itu.
Bintang drama Lelaki Itu juga tidak menyatakan nama atau hantaran tersebut ditujukan kepada mana-mana pihak. – HIBGLAM
