HAJAT tertunda, vokalis kumpulan Midnight Fusic, Arif Kamarudin mengakui terkilan dan kecewa apabila persembahan mereka menerusi Konsert Soundstage yang sepatutnya berlangsung di Unifi Arena pada 16 Ogos lalu ditangguh.
Arif atau nama sebenarnya Raja Arif Aizuddin Raja Kamarudin, 25, berkata, sudah lama mereka menantikan peluang membuat persembahan di lokasi berkenaan, namun akur dengan penangguhan terbabit.
“Kami rasa sayang sebenarnya kerana tempat tersebut sudah lama kami impikan untuk mengadakan persembahan. Namun, perkara sebegini sukar dijangka dan kami terima sahaja apa berlaku.
“Saya sendiri tidak tahu sebab konsert itu ditangguhkan. Mungkin belum ada rezeki untuk kami bermain pada tarikh tersebut. Inilah hakikat perlu diterima dalam industri seni.
“Bagaimanapun, kami dimaklumkan konsert itu mungkin ditunda ke Oktober atau November depan,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya kebimbangan mengenai jualan tiket, lebih-lebih lagi apabila terdapat beberapa nama besar turut mempunyai acara pada tarikh sama, Arif kekal optimis terhadap sokongan peminat Midnight Fusic serta FUGO.
“Saya yakin kami boleh jual tiket kerana tahu peminat Midnight Fusic sangat memberi sokongan. Begitu juga peminat FUGO. Untuk mana-mana persembahan pun, mereka sanggup turun padang.
“Ini malam khas untuk dua kumpulan ini. Konsert tersebut juga hanya berlangsung sekali dan sangat eksklusif untuk satu malam sahaja,” ujarnya pada sidang media 2 Konsert 2 Generasi 2026, semalam.
Menyentuh perjalanan Midnight Fusic, Arif menolak anggapan mereka masih belum cukup menyerlah meskipun sudah lebih sedekad mewarnai persada muzik tempatan.
Tegasnya, Midnight Fusic selesa berada di persimpangan muzik indie dan arus perdana tanpa menjadikan populariti sebagai ukuran utama dalam berkarya.
“Saya rasa kami sudah stabil antara muzik indie dan arus perdana. Kalau ditanya sama ada impian untuk menjadi kumpulan arus perdana itu ada, sudah tentu ada, tetapi kami tidak berkarya semata-mata untuk mengejar status tersebut.
“Kami menghasilkan muzik kerana mahu menyampaikan mesej melalui lagu. Itu sahaja keutamaan kami,” tegasnya.
Dua kugiran kontemporari tempatan, FUGO dan Midnight Fusic bakal berkongsi pentas buat kali pertama menerusi Panggung Sandiwara: FUGO& Midnight Fusic pada 17 Oktober 2026, pukul 8 malam di Odeon KL, Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Rockstation itu menghimpunkan dua kumpulan dengan identiti muzik serta kelompok peminat tersendiri dalam sebuah persembahan dua generasi.
Kolaborasi tersebut turut menjadi titik pertemuan penting buat kedua-dua kumpulan selepas berbincang mengenai kerjasama pada 2024 ketika terlibat dalam sebuah acara persembahan di Pantai Timur. – HIBGLAM
