TIDAK memandang ringan dakwaan kewujudan kartel yang mengawal kemasukan filem ke pawagam, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menjalankan siasatan berhubung aktiviti terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, walaupun tiada aduan rasmi diterima berhubung dakwaan itu sehingga kini, sebarang unsur monopoli yang berisiko menjejaskan persaingan sihat dalam industri perfileman tempatan perlu dikekang.
Sebolehnya kita tidak mahu ada unsur kartel kerana kartel menjurus kepada monopoli. Kita juga enggan ada monopoli dalam lesen Finas, Wajib Tayang atau pengedaran.
“Setiap pemain industri perfileman perlu diberi peluang adil tanpa perlu berdepan monopoli pihak tertentu,” katanya ketika Sesi Libat Urus bersama Finas: Dasar Filem Negara di Studio Sound Stage 2 di Menara Finas, hari ini.
Menurutnya, setiap pemain industri perlu diberikan peluang secara adil selaras dengan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) yang menggalakkan amalan perdagangan secara adil.
Mengulas sama ada benar wujud kartel dalam industri perfileman, Azmir berkata, Finas ketika ini sedang mengumpul maklumat berkaitan dakwaan berkenaan.
Jelasnya, situasi seperti itu sepatutnya dapat dielak menerusi Syarat Wajib Tayang dengan mengambil kira jadual keseluruhan filem yang bakal ditayangkan bagi mengelakkan pertindihan.
Azmir menegaskan Finas akan meneliti dakwaan penguasaan pasaran secara menyeluruh bagi memastikan tidak ada satu entiti menguasai keseluruhan rantaian industri perfileman.
Dalam isu kartel ini, saya akan panggil wakil pawagam, pengedar dan penerbit untuk memastikan tiada satu entiti menguasai keseluruhan rantaian, menjadi pengedar, pelabur, pemilik pawagam dan pembuat filem serentak,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, Akta Finas menetapkan tiga kategori lesen utama iaitu pengeluaran, pengedaran dan pemameran, manakala satu syarikat tidak boleh memegang ketiga-tiga lesen tersebut secara serentak.
Maksimum yang dibenarkan hanyalah dua lesen sahaja,” katanya.
Katanya lagi, antara kes yang menjadi perhatiannya adalah aduan seorang penerbit filem Tamil tempatan yang mendakwa jadual tayangannya terganggu apabila sebuah filem dari India masuk ke pawagam pada saat akhir.
Baru-baru ini saya dihubungi seorang penerbit filem Tamil tempatan. Apabila beliau mahu menayangkan filemnya, tiba-tiba ada filem dari India yang masuk lewat hingga mengganggu jadual tayangan,” katanya.
Sehubungan itu, tegasnya, Finas akan memanggil semua pihak termasuk pemamer pawagam, pengedar dan penerbit untuk berbincang serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai isu berkenaan.
Azmir berkata, terdapat juga cadangan supaya filem luar yang mahu memasuki pasaran tempatan memaklumkan kemasukan mereka lebih awal bagi membolehkan penerbit tempatan menyusun strategi tayangan.
Di Singapura, mereka menetapkan syarat filem luar yang mahu masuk perlu memaklumkan sekurang-kurangnya sebulan awal supaya penerbit tempatan boleh menyusun jadual tayangan,” katanya.
Tambahnnya, persoalan utama yang dibangkitkan pemain industri bukan semata-mata mengenai pengedar menguasai pasaran tertentu, bahkan berkenaan satu entiti menjalankan beberapa fungsi serentak sebagai pengedar, penerbit dan penyedia dana.
“Memang pemamer menentukan filem yang ditayangkan, sebagai entiti perniagaan sudah tentu pemamer menerima filem yang mempunyai permintaan penonton andai tiada dasar rujukan jelas.
Namun Finas mempunyai tanggungjawab untuk memastikan filem tempatan dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Tamil dan Mandarin terus mendapat ruang sewajarnya di pawagam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azmir tidak menolak terdapat kemungkinan sesebuah kumpulan perniagaan mempunyai beberapa anak syarikat yang memegang lesen berbeza.
Setakat ini memang tiada (syarikat yang memegang ketiga-tiganya). Cuma kita perlu faham sesetengah entiti perniagaan boleh membuka pelbagai anak syarikat yang berbeza untuk memegang lesen berasingan,” katanya.
Menurutnya, perkara itu memerlukan penelitian lebih menyeluruh kerana fenomena pemilikan silang dalam industri hiburan bukan perkara baharu di peringkat antarabangsa.
Katanya, di Hollywood terdapat kumpulan korporat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai cabang termasuk rangkaian televisyen, saluran hiburan, syarikat filem dan pawagam.
“Di Malaysia juga ada konglomerat tempatan yang memiliki syarikat telekomunikasi, stesen TV satelit, pengedaran dan rangkaian pawagam di bawah satu kumpulan. – HIBGLAM
