“ALHAMDULILLAH ibu bapa saya dah terima Bella 110 peratus.”
Demikian perkongsian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang bersyukur apabila kehadiran penyanyi dan tunangnya, Bella Astillah diterima baik seluruh ahli keluarganya.
Pada masa sama, pemilik nama lengkap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu menganggap fasa mencabar telah dilalui dan kini mereka lebih fokus menikmati momen manis bersama.
Alhamdulillah setakat ini cabaran dan dugaan dah lama kita lepasi. Ini fasa bahagia.
“Saya doakan supaya fasa bahagia ini tak terhenti, itu paling penting. Kadang-kadang orang kata darah manis tak boleh banyak keluar.
“Tapi saya rasa kita banyak keluar, lari bersama pun banyak. Itu lebih mendekatkan kita dan kita saling memahami,” kata Saddiq, 34, dalam program MeleTOP, semalam.
Tambahnya, pesanan berharga yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah mengenai kehidupan berumah tangga turut memurnikan perhubungan mereka.
“Kena bijak untuk berkompromi, tolak ansur itu penting. Bukan setakat nasihat daripada abuyah dan mama.
“Bila jumpa Tun Dr. Mahathir dan Tun Hasmah, perkara paling penting kena bijak tolak ansur.
“Kerana dalam mana-mana hubungan tidak ada kesempurnaan. Kalau kita kejar kesempurnaan, kita hilang kebahagiaan,” katanya.
Semalam, Syed Saddiq dan Bella mengumumkan tarikh pernikahan mereka yang bakal berlangsung pada 10 Oktober depan di Menara Merdeka 118.
Pasangan sama cantik, sama padan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – HIBGLAM
