MAESTRO muzik, Datuk M. Nasir memilih untuk tidak mengendahkan luahan segelintir pihak yang mahu memboikot teater muzikal arahannya, Mansur & Liu susulan pemilihan Aliff Aziz sebagai peranan utama.
M. Nasir atau nama lengkapnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, turut menegaskan bahawa pemilihan sesebuah watak dibuat berdasarkan kualiti bakat yang dimiliki seseorang.
“Yang nak boikot itu dalam empat orang, yang lain itu sokong. Kita kena pandang pada bakat, bukan suka-suka saja pilih. ‘Boikot?
“Setelah ambil kira macam-macam, saya dapati saya pun sebenarnya baru kenal. Bagi saya, dia memang cocok dengan peranan itu,” katanya kepada HibGlam pada sidang media konsert Magnum Opus M. Nasir dekad ke-5, di Istana Budaya, hari ini.
Tambah pelantun lagu Apokalips itu, dia lebih tertarik bekerjasama dengan mana-mana penggiat seni yang komited dan bekerja keras.
“Saya suka orang yang bekerja bersungguh-sungguh. Selalunya hidup ini kita berdepan dengan pilihan.
Jadi, selalunya pilihan selalu memberi kita tekanan tapi saya harap saya boleh menghadapi perkara itu semua dengan fikiran rasional,” katanya lagi.
Sebelum ini, M.Nasir selaku pengarah mengumumkan bakal mengadakan pementasan teater muzikal Mansur & Liu yang menyaksikan Aliff Aziz memegang watak Sultan Mansur Shah dan bergandingan dengan Melinda Dadew sebagai Liu.
Namun, pelbagai pandangan yang dilemparkan selepas pengumuman Aliff sebagai watak utama susulan kontroversi yang pernah membabitkannya.
Dalam perkembangan lain, M.Nasir bakal mengadakan konsert Magnum Opus M.Nasir dekad ke-5 di Istana Budaya pada 5 Disember kelak.
Tiket konsert akan mula dijual pada 21 Ogos depan menerusi laman sesawang www.illassotickets.com. – HIBGLAM
